Isu Venezuela: IOC tolak desakan larang AS sertai Sukan Olimpik Musim Sejuk

Foto Reuters

BERLIN, 12 Januari – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menolak desakan agar Amerika Syarikat (AS) dilarang menyertai Sukan Musim Sejuk Milan/Cortina bulan depan, susulan operasi ketenteraan negara itu di Venezuela, lapor agensi berita Jerman (DPA).

RINGKASAN BERITA AI
  • IOC menolak campur tangan politik dan sebarang sekatan terhadap negara berkaitan penyertaan atlet.
  • Peranan IOC adalah memastikan atlet dapat bertanding tanpa mengira negara asal.
  • Beza pendekatan: sekatan terhadap Rusia/Belarus berbeza dengan prinsip umum IOC mengenai politik.

“IOC tidak boleh melibatkan diri secara langsung dalam hal politik atau konflik antara negara kerana ia berada di luar bidang kuasa kami,” kata badan pengelola itu kepada DPA pada Isnin.

“Ini adalah urusan politik. Peranan kami adalah memastikan atlet dapat mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik, tanpa mengira dari negara mana mereka datang,” menurut kenyataan itu.

Tentera AS melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran di Caracas pada awal Januari dan menahan Nicolas Maduro, yang kemudiannya dibawa ke AS untuk menghadapi pertuduhan berkaitan dadah.

Tindakan tersebut mencetuskan gesaan daripada beberapa pihak agar IOC mengenakan sekatan terhadap AS sepertimana tindakan terhadap atlet Rusia ekoran perang Rusia-Ukraine.

Seperti pada Sukan Olimpik Paris 2024, atlet dari Rusia dan Belarus hanya dibenarkan bertanding di bawah bendera neutral dan tanpa lagu kebangsaan, tertakluk kepada kelulusan persekutuan sukan dunia yang berkaitan.

Pasukan Rusia dan Belarus, termasuk dalam sukan hoki ais, tidak dibenarkan bertanding sama sekali.-BERNAMA