Haqimi Azim sarung jersi TFC

Muhammad Haqimi Azim dipinjamkan oleh JDT bagi membantu TFC mengharungi baki saingan Liga Super dan cabaran Piala Malaysia musim ini /BERNAMA

KUALA NERUS, 9 Januari – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Haqimi Azim Rosli secara rasmi dipinjamkan ke Terengganu FC (TFC) pada jendela perpindahan kedua musim 2025/2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Haqimi Azim dipinjamkan JDT ke TFC untuk baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
  • Kedatangan beliau dijangka memperkuat serangan TFC selepas kecederaan tonggak import Yan Mabella.
  • Haqimi bertekad memanfaatkan peluang bagi membantu Terengganu meningkatkan pencapaian pasukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Bajrai pemain kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu dipinjamkan bagi membantu TFC mengharungi baki saingan Liga Super dan cabaran Piala Malaysia yang bakal berakhir Mei ini.

Beliau berkata kehadiran Muhammad Haqimi Azim diyakini akan memberikan nilai tambah serta membantu memperkuat jentera serangan yang ketika ini berdepan masalah kritikal selepas tonggak import utama Yan Mabella mengalami kecederaan.

“TFC percaya kualiti yang dimiliki beliau (Muhammad Haqimi Azim) akan membantu meningkatkan pencapaian pasukan yang ketika ini berada di kedudukan kelima Liga Super.

“Beliau juga telah menyatakan hasrat menggunakan peluang ini sebaik mungkin bagi membantu Terengganu meraih kejayaan dalam setiap perlawanan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA