
LONDON, 20 Januari – Pemain pertahanan England, Marc Guehi secara rasmi menyertai Manchester City daripada Crystal Palace dengan kontrak selama lima tahun setengah.
- Marc Guehi sah menyertai Manchester City dengan kontrak lima setengah tahun.
- Peralihan itu bernilai kira-kira £20 juta, menurut laporan.
- City memuji Guehi sebagai pertahanan terbaik England, berjiwa pemimpin dan bermotivasi tinggi.
Perkembangan itu diumumkan Manchester City dalam satu kenyataan.
Pemain berusia 25 tahun itu dilapor menyertai City dengan nilai perpindahan sebanyak £20 juta.
“Saya sangat gembira dan bangga kerana dapat menjadi pemain Manchester City. Ini adalah kemuncak kepada kerja keras yang saya usahakan selama ini.
“Saya mahu berkembang menjadi pemain yang lebih hebat dan saya keinginan itu dapat saya penuhi di kelab ini,” kata Guehi.
Sementara itu, Pengarah bola sepak City, Hugo Viana berkata, Guehi merupakan antara pemain pertahanan terbaik di England sekarang yang menjadi sebab The Citizen menandatangani khidmatnya.
“Guehi sudah menunjukkan kepada peminat bola sepak bahawa dia merupakan ketua yang baik, profesional dan sangat inginkan peningkatan dalam kariernya,”katanya.