CG Esports anggap penyertaan M7 pengalaman berharga

Barisan pemain pasukan CG Esports/RTM

SEPANG, 19 Januari – Pasukan CG Esports menyifatkan penyertaan kali pertama dalam kejohanan dunia M7 World Championships sebagai pengalaman amat berharga meskipun kempen mereka terhenti lebih awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman bertanding di peringkat dunia membuka banyak ruang pembelajaran untuk pasukan.
  • Jurulatih mengesan kekurangan dalam hero pool, adaptasi hero baharu dan strategi permainan.
  • Ketahanan mental pemain perlu diperbaiki untuk menghadapi tekanan pentas antarabangsa.
  • Kekalahan 0-2 menamatkan kempen, menggariskan jurang pengalaman berbanding pasukan lain.

Ketua jurulatih CG Esports, Fikri Aiman Khidzir, berkata pengalaman beraksi menentang pasukan bertaraf dunia membuka banyak ruang pembelajaran buat skuadnya.

“Memang banyak kekurangan yang ketara. Dari segi hero pool, adaptasi terhadap hero baharu, tekanan bermain di pentas antarabangsa, semuanya memberi cabaran besar kepada kami.

“Jujurnya, perbezaan paling ketara antara kami dan pasukan lain ialah pengalaman. Mereka jauh lebih berpengalaman bermain di pentas besar,” katanya ketika ditemui selepas ketibaan pasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.

Fikri berkata, pasukannya perlu melakukan penambahbaikan menyeluruh, khususnya dalam aspek strategi permainan dan ketahanan mental, bagi memastikan CG Esports tampil lebih kompetitif pada edisi akan datang.

Sabtu lalu, CG Esports tewas 0-2 kepada wakil Myanmar, Yangon Galacticos (YG), dalam aksi penentuan pusingan terakhir Swiss Stage yang berlangsung di XO Hall, MPL Arena, Jakarta.

Sementara itu, ketua pasukan CG Esports, Muhammad Danial Mohamed Fuad, mengakui ketahanan mental menjadi antara cabaran terbesar skuad berkenaan di pentas dunia.

“Pemain kena belajar hadapi tekanan itu. Dalam kejohanan antarabangsa, kita bertemu pemain hebat dari negara lain.

“Beberapa pemain mungkin masih sukar mengawal tekanan tersebut,” jelasnya.

Kekalahan itu menamatkan kempen CG Esports, yang sebelum ini mencuri perhatian selepas menjuarai MLBB Academy League Musim Ketiga dan muncul naib juara MPL Malaysia Musim Ke-16 di belakang Selangor Red Giants (SRG).

Dengan tersingkirnya CG Esports, Selangor Red Giants (SRG) kini kekal sebagai satu-satunya wakil Malaysia yang mara ke pusingan kalah mati M7 World Championships.