Doue cedera, PSG hilang tonggak utama

Foto AFP

PARIS, 22 November – Bintang muda Paris Saint-Germain (PSG), Desire Doue, disahkan mengalami kecederaan koyakan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanan dan dijadual menjalani pembedahan sebelum penghujung bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Doue cedera dalam separuh masa pertama dan diusung keluar, perlawanan dihentikan lima minit untuk rawatan.
  • Kecederaan itu menambah kehilangan tonggak PSG Khvicha Kvaratskhelia yang juga mengalami koyakan ACL dan dijangka terlepas sehingga penghujung musim.
  • Jurulatih Luis Enrique mengesahkan kecederaan itu sememangnya serius.
  • Doue dianggap antara pemain terbaik musim ini, penting dalam kejayaan UCL dan menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan UCL.

Perkara tersebut disahkan Kelab juara Perancis dan Eropah dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad, namun tidak memperincikan tempoh pemain berusia 21 tahun itu perlu berehat.

Doue mengalami kecederaan ketika aksi separuh masa pertama selepas membantu kemenangan 3-2 PSG ke atas Nice dalam saingan Ligue 1, pada Sabtu.

Perlawanan di Stadium Allianz Riviera turut dihentikan selama lima minit bagi membolehkan beliau menerima rawatan.

Doue dilihat menahan kesakitan sambil memegang lutut kanannya sebelum diusung keluar padang pada penghujung separuh masa pertama, diiringi tepukan penonton.

Kecederaan itu menyaksikan PSG kehilangan seorang lagi pemain utama selepas pemain sayap Georgia, Khvicha Kvaratskhelia, turut mengalami koyakan ACL pada lutut kanan ketika beraksi menentang Barcelona bulan lepas.

Kvaratskhelia dijangka tidak dapat beraksi sehingga penghujung musim ini, manakala Doue juga berdepan tempoh pemulihan yang panjang.

“Ia sememangnya satu kecederaan serius,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique, pada Sabtu.

Pemain antarabangsa Perancis itu yang beraksi di bahagian sayap atau tengah, dianggap antara pemain terbaik PSG musim ini, selepas memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) bagi dua musim berturut-turut.

Lebih membanggakan, Doue turut meledak tiga gol dalam tiga penampilan UCL musim ini.

Kehilangan Doue menambah cabaran buat PSG yang turut melepaskan Bradley Barcola kepada Liverpool pada awal musim ini, selain berdepan masalah kecergasan membabitkan Ousmane Dembele.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.