Cedera lutut, Wilson terlepas aksi awal Super Rugby

Harry Wilson(dua dari kanan) diasak dua pemain Ireland, Dan Sheehan dan Tadhg Beirne, dalam aksi Siri Antarabangsa Musim Luruh di Stadium Aviva, Dublin, 15 November 2025/Foto REUTERS

BRISBANE, 17 Januari – Kapten pasukan Wallabies, Harry Wilson, dijangka terlepas aksi awal musim Super Rugby selepas menjalani pembedahan kecil pada lutut, menurut kelabnya, Queensland Reds.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harry Wilson jalani pembedahan kecil lutut selepas kecederaan Ogos lalu, dijangka berehat sekitar enam minggu.
  • Wilson akan terlepas perlawanan pembukaan Super Rugby menentang NSW Waratahs pada 13 Februari.
  • Ketua jurulatih Les Kiss sahkan pembedahan berjalan lancar dan beri sokongan pemulihan pemain.
  • Les Kiss lihat peluang untuk pemain barisan belakang Reds menyerlah dan menggantikan peranan Wilson.

Pemain posisi No.8 itu mengalami kecederaan lutut pada Ogos lalu ketika membantu Australia menewaskan Afrika Selatan di Ellis Park, kemenangan pertama mereka di venue itu dalam tempoh 62 tahun.

Wilson terpaksa dikeluarkan selepas menjaringkan dua percubaan dalam perlawanan berkenaan.

Reds memaklumkan pemain berpengalaman 36 kaps antarabangsa itu menjalani pembedahan pembersihan di Brisbane pada Jumaat dan dijangka berehat selama kira-kira enam minggu.

Ketiadaan Wilson menyaksikan beliau terlepas perlawanan pembukaan musim menentang NSW Waratahs pada 13 Februari.

Ketua jurulatih Reds, Les Kiss yang bakal menggantikan Joe Schmidt sebagai jurulatih Australia akhir tahun ini menyifatkan pembedahan itu berjalan lancar.

“Kini peluang terbuka untuk pemain barisan belakang Reds yang lain menyerlah dan membuktikan kemampuan mereka,” katanya. – AFP