Malaysia sasar kejuaraan SEARF 15s Wanita

Ketua jurulatih skuad ragbi wanita 15 sebelah negara, Raimi Md Yusof bercakap kepada pemberita di Petaling Jaya.

PETALING JAYA, 17 Januari – Selepas lebih satu dekad menyepi, skuad ragbi wanita 15 sebelah (15s) negara kembali menggalas cabaran di pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam Kejohanan Persekutuan Ragbi Asia Tenggara (SEARF) 15s Wanita yang berlangsung pada Februari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan sedang jalani program latihan berfasa enam minggu untuk persiapan kejohanan SEARF 15s Wanita.
  • Fokus latihan pada penyesuaian kepada tuntutan fizikal dan taktikal permainan 15 sebelah.
  • Kriteria pemilihan termasuk komitmen, disiplin, kecergasan dan keserasian pasukan.
  • Sasaran pasukan jelas memburu kejuaraan, dengan perlawanan pembukaan menentang Singapura.

Ketua jurulatih, Raimi Md Yusof berkata, persiapan pasukan kini giat dijalankan menerusi program latihan berfasa selama enam minggu.

Menurutnya, fokus utama adalah membantu pemain menyesuaikan diri dengan permainan 15 sebelah yang lebih mencabar dari segi fizikal dan taktikal, berbanding format 7s dan 10s yang lebih kerap disertai sebelum ini.

“Peralihan kepada 15 sebelah memerlukan masa kerana permainan ini lebih menuntut ketahanan fizikal, penguasaan breakdown, serta situasi scrum dan line out yang lebih kerap,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kelab Ragbi Kobra di sini.

Senarai akhir pemain akan diumumkan hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Raimi berkata komitmen, disiplin serta semangat mewakili negara menjadi kriteria utama pemilihan pemain, selain tahap kecergasan dan keserasian pasukan menjelang kejohanan.

Mengenai sasaran pula, beliau tidak menyembunyikan hasrat untuk memburu kejuaraan.

“Sudah tentu sasaran kita tinggi. Kita mahu mencapai kejayaan, bekerja keras, berjuang habis-habisan dan memburu kejuaraan.

“Untuk perlawanan pertama, kalau tidak silap saya, kita akan menentang Singapura. Jika berjaya menang, perlawanan kedua pula kita akan berdepan sama ada Filipina atau Indonesia.” katanya.

Bagaimanapun, Filipina dikenal pasti sebagai cabaran terbesar memandangkan negara itu lebih aktif dalam ragbi 15 sebelah dan memiliki pemain bersaiz besar, selain dianggap pasukan pilihan kejohanan.

Kali terakhir Malaysia beraksi dalam ragbi 15 sebelah wanita adalah pada 2009 di Singapura, yang menyaksikan skuad negara muncul juara selepas menewaskan tuan rumah.

Skuad negara dijadual membuka kempen menentang Singapura pada 11 Februari ini di Padang Astaka, Petaling Jaya.