
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Generasi baharu wajar diberi peluang menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memulihkan imej badan induk sukan bola sepak berkenaan.
- Berikan peluang generasi baharu memimpin FAM untuk memulihkan imej persatuan dan membawa pemikiran segar serta kreativiti dalam pengurusan bola sepak moden.
- Calon ideal berumur 40 hingga 50-an, berintegriti tinggi, bersih, mempunyai pengaruh korporat serta pengalaman dan minat mendalam dalam bola sepak.
- FAM perlu mencontohi model Korea Selatan dan Jepun dengan melantik tokoh yang gabungkan pengaruh korporat, semangat kesukanan dan kefahaman teknologi.
Perkara itu diakui pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli bagi mengulas saranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencadangkan generasi baharu memimpin FAM menjelang Kongres Pemilihan badan induk tersebut September depan.
Menurut beliau, golongan muda mampu membawa perubahan dari segi pemikiran dan kreativiti dalam pengurusan bola sepak moden yang kini banyak bergantung kepada teknologi.
“Kita perlukan pemimpin muda yang mempunyai pemikiran segar dan idea kreatif untuk memulihkan imej bola sepak negara.
“Walaupun statut FAM menetapkan calon mesti bawah 70 tahun dan pernah berada lima tahun dalam persatuan, kita perlu mencari mereka yang berumur 40 hingga 50-an yang bersih dan berintegriti tinggi,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri di sini.
Datuk Dr. Pekan turut menggariskan kriteria penting bagi calon baharu termasuk memiliki latar belakang korporat, pengaruh yang kuat serta mempunyai minat mendalam dan pengalaman dalam bola sepak.
Beliau pada masa sama mencadangkan supaya FAM mencontohi model kepimpinan dari Korea Selatan dan Jepun dengan melantik tokoh yang mempunyai gabungan pengaruh korporat dan semangat kesukanan yang tinggi.
Katanya, kriteria itu penting bagi memastikan bakal peneraju FAM bukan sahaja mampu menguruskan organisasi, malah berupaya membersihkan imej persatuan yang kini dicemari pelbagai isu negatif.
“Kita mahu pemimpin yang bukan sekadar ada nama, tetapi mempunyai integriti yang tinggi, amanah, Kita perlukan seseorang yang ada pengaruh korporat untuk membawa masuk penajaan, namun pada masa yang sama tahu selok-belok bola sepak,” jelasnya.