BAM rombak pemain beregu lelaki, uji gandingan baharu untuk LA28

Rexy Mainaky menjelaskan keputusan berani itu diputuskan bagi memastikan skuad negara mempunyai lebih banyak pilihan berkualiti.

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia melakukan rombakan terhadap barisan beregu lelaki negara, termasuk menguji gandingan baharu bagi pasangan utama, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rombakan sebahagian strategi jangka panjang untuk mengejar pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
  • Pendekatan mix and match antara pemain senior dan muda untuk membina pengalaman pentas besar dan percepat pembangunan pelapis.
  • Beberapa gandingan baharu diuji; Soh Wooi Yik-Man Wei Chong di Terbuka Jepun, Aaron Chia-Aaron Tai di Terbuka China, Taipei, Korea.
  • Harapan rombakan mewujudkan kem lebih kompetitif serta mengurangkan kebergantungan kepada pasangan tertentu sahaja.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang dalam misi memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky menjelaskan, keputusan berani itu diputuskan hasil perbincangan bersama Ketua Jurulatih Beregu Lelaki, Herry Iman Pierngadi dan Datuk Seri Lee Chong Wei bagi memastikan skuad negara mempunyai lebih banyak pilihan berkualiti.

“Kita melihat ke hadapan untuk LA2028. Ini bukan bermakna Aaron dan Wooi Yik sudah tiada masa depan, tetapi kita perlu memberi ruang kepada pemain muda yang berpotensi.

“Pendekatan ‘mix and match’ antara pemain senior dan muda ini penting untuk membina pengalaman mereka di pentas besar, sekali gus mempercepatkan proses pembangunan pelapis,” katanya.

Tambah Rexy, model pertukaran pasangan ini bukanlah perkara asing memandangkan kuasa besar badminton dunia seperti China dan Korea Selatan telah lama mengamalkannya bagi mencari kombinasi paling mantap.

Sebagai permulaan, beberapa gandingan baharu akan diuji dalam siri kejohanan akan datang.

Bagi kejohanan Terbuka Jepun, Soh Wooi Yik dijadualkan berpasangan dengan Man Wei Chong, manakala gandingan lain melibatkan Kang Khai Xing-Aaron Tai dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.

Sementara itu, Aaron Chia pula akan digandingkan dengan pemain muda, Aaron Tai bagi mengharungi Terbuka China, Terbuka Taipei, dan Terbuka Korea.

Rexy dalam pada itu berharap pembaharuan tersebut dapat mewujudkan suasana lebih kompetitif dalam kem kebangsaan selain mengurangkan kebergantungan terhadap pasangan tertentu sahaja.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.