Shereen, Umar sedia gegar kejohanan Olahraga Terbuka Hong Kong

Shereen dan Umar berada pada prestasi terbaik untuk cipta kejutan pada kejohanan
Terbuka Olahraga Hong Kong 2026. Foto/Bernama.

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Dua jaguh olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy dan Umar Osman berada pada prestasi terbaik untuk cipta kejutan pada kejohanan
Terbuka Olahraga Hong Kong 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shereen gunakan 100m sebagai asas latihan kelajuan, tanpa tekanan, fokus pada pelaksanaan larian.
  • Bebas kecederaan, Shereen catat 52.73 saat di Taiwan dan sasar layak ke peringkat akhir di Hong Kong.
  • Selepas Hong Kong, Shereen akan beraksi 200m di Terbuka Malaysia untuk memantapkan prestasi menghadapi kejohanan lebih besar.
  • Umar jalani latihan baharu fokus daya tahan, gunakan bilik simulasi altitud 13% oksigen di ISN dan tekankan kawal tenaga untuk final.

Menurut Shereen yang juga pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m) wanita, penyertaannya dalam acara 100m di Hong Kong adalah sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan kelajuan sebelum kembali fokus kepada acara kegemarannya, 400m.

“Saya gunakan acara 100m ini sebagai asas latihan kelajuan. Tiada tekanan buat saya, cuma mahu fokus kepada pelaksanaan larian yang baik.

“Tahun ini prestasi saya semakin baik selepas bebas daripada kecederaan. Selepas mencatat 52.73 saat (s) di Taiwan, saya harap dapat terus konsisten dan sasar
untuk layak ke peringkat akhir di Hong Kong nanti,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Hong Kong.

Selepas Hong Kong, atlet berusia 27 tahun itu dijadualkan beraksi dalam acara 200m pada Terbuka Malaysia yang menjadi pentas untuk memantapkan prestasinya menghadapi kejohanan lebih besar.

Dalam pada itu, pelari 400m lelaki negara, Umar Osman berkongsi keterujaannya selepas menjalani kaedah latihan baharu di bawah kendalian jurulatih, Mohd Jironi Riduan.

Sebelum ini, pelari berusia 22 tahun itu lebih memfokuskan kepada latihan kekuatan, namun kini fokusnya lebih tertumpu kepada latihan daya tahan termasuk menggunakan teknologi bilik simulasi altitud tinggi dengan kadar oksigen 13 peratus di Institut Sukan
Negara (ISN).

“Ini kali pertama saya berlatih dalam persekitaran altitud tinggi dan ia banyak membantu meningkatkan catatan masa saya. Bagi saya, paling penting adalah mengenali keadaan badan sendiri. Jika badan rasa sihat, saya akan berikan yang terbaik, namun jika rasa lesu, saya perlu bijak menguruskan sama ada mahu lari sehabis baik atau menyimpan tenaga.

“Saya perlu pandai mengawal keadaan supaya tidak membazir tenaga kerana di peringkat akhir nanti ada lagi larian. Biasanya di separuh akhir saya akan simpan tenaga dan hanya akan kerah segalanya di final bagi mengelakkan kecederaan.” jelas Umar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.