Piala Dunia: Tuchel sifatkan England kini sudah bersedia

Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel / REUTERS

ORLANDO, 11 Jun -Skuad England menutup tirai aksi persahabatan Piala Dunia dengan langkah kanan selepas mencatatkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Costa Rica di Stadium Inter&Co di sini pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuchel memuji pemain kerana kekal fokus walaupun berdepan gangguan cuaca buruk.
  • Perlawanan ditangguhkan sejam akibat ribut petir namun kelewatan itu disifatkan memberikan kebaikan kepada pasukan.
  • Tuchel menegaskan tuntutan peningkatan sebelum kejohanan berjaya diterjemahkan di atas padang.
  • Kepulangan pemain Arsenal ke kem latihan memberi suntikan positif kepada England.

Kemenangan itu sekali gus meraih pujian ketua jurulatihnya,Thomas Tuchel, yang kagum dengan barisan para pemainnya yang tidak kehilangan fokus meskipun berdepan gangguan cuaca buruk pada perlawanan berkenaan.

Perlawanan berkenaan terpaksa ditangguhkan selama sejam akibat ribut petir. Namun ia gagal menyekat dominasi “The Three Lions” yang memperaga aksi bertenaga dari awal hingga tamat perlawanan.

“Jika dilihat kembali, kelewatan (sepak mula) itu sebenarnya memberikan kebaikan kepada kami. Kumpulan pemain ini sangat luar biasa kerana kami langsung tidak terganggu atau hilang fokus.

“Malah, kami berjaya menterjemahkan satu aksi yang cemerlang dan penuh dengan keazaman dari awal hingga tamat perlawanan,” kata Tuchel kepada pemberita selepas perlawanan”, katanya pada sidang media selepas perlawanan disini.

Pengendali kelahiran Jerman itu menambah, beliau sememangnya menuntut peningkatan ketara daripada anak-anak buahnya menjelang sepak mula kejohanan,dan tuntutan itu berjaya diterjemahkan di atas padang.

England turut mendapat suntikan positif susulan kepulangan barisan pemain Arsenal yang baru menyertai kem latihan pusat, selepas diberikan rehat tambahan susulan terlibat dalam aksi akhir Liga Juara Eropah sebelum ini.

Sementara itu bagi ketua jurulatih Costa Rica, Fernando Batista, beliau melihat kekalahan tersebut sebagai pendedahan kepada skuadnya menjelang Piala Dunia 2030.

“Tidak dapat beraksi di pentas Piala Dunia ketika ini sememangnya amat perit buat kami. Namun, ini adalah proses pembentukan kumpulan dan pasukan yang baharu.

“Kami sedang mengusahakan fasa pembaharuan pemain dengan purata umur yang jauh lebih muda, di mana sasaran utama kami adalah untuk saingan Piala Dunia 2030,” jelas Batista.

England dijadualkan memulakan kempen sebenar Piala Dunia menentang Croatia dalam aksi pembukaan Kumpulan L yang akan berlangsung di Arlington, Texas pada 17 Jun ini. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.