
BARCELONA, 23 Julai – Barcelona berjaya mendapatkan khidmat penyerang Jerman, Karim Adeyemi dari Borussia Dortmund dengan nilai perpindahan dilaporkan mencecah 29 juta euro (AS$33 juta) termasuk bayaran tambahan tertakluk pada syarat ditetapkan.
- Kontrak lima musim bersama Barcelona sehingga 30 Jun 2031.
- Berusia 24 tahun, pemain serba boleh dengan kepantasan tinggi; boleh beraksi sebagai penyerang tengah atau di kedua-dua sayap.
- Menjaringkan 36 gol dalam 146 penampilan sepanjang empat musim di kelab sebelum ini.
“Adeyemi akan bermain dengan Barca bagi tempoh lima musim hingga 30 Jun 2031,” menurut gergasi Sepanyol itu menerusi satu kenyataan.
Pemain serba boleh berusia 24 tahun itu menjadi pemain kedua dibawa masuk ke Camp Nou selepas kelab itu berjaya mendapatkan pemain antarabangsa England, Anthony Gordon daripada Newcastle United.
Dikenali dengan kepantasan luar biasa, Adeyemi yang mampu beraksi sebagai penyerang tengah atau di kedua-dua sayap dijangka memperkukuh jentera serangan Barcelona susulan pemergian penyerang veteran, Robert Lewandowski.
Kelab Catalan itu turut kehilangan Marcus Rashford selepas tempoh pinjaman daripada Manchester United berakhir, sekali gus menyebabkan skuad itu kekurangan pilihan di bahagian serangan.
Juara La Liga itu juga masih memburu penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez yang menjadi sasaran utama mereka pada jendela perpindahan musim panas ini.
Adeyemi menyertai Dortmund dari Red Bull Salzburg pada 2022.
Beliau menjaringkan 36 gol dalam 146 penampilan sepanjang empat musim sebelum berhijrah ke Barcelona. – AFP