Arteta akhiri penantian 22 tahun Arsenal

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta / foto AFP

LONDON, 20 Mei – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, akhirnya menamatkan penantian 22 tahun Arsenal untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), sejak musim “Invincibles” 2003/2004 di bawah Arsene Wenger.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek pembangunan Arteta sejak dilantik 2019 berjaya mengubah struktur kelab dan meningkatkan prestasi berterusan.
  • Guardiola jadi inspirasi falsafahnya, manakala pengalaman bersama David Moyes membentuk pendekatan pembinaan pasukan dan pemilihan pemain berkarakter.
  • Beliau lakukan rombakan besar termasuk lepaskan Aubameyang dan Özil untuk mencapai keseimbangan serta keharmonian dalam skuad.

Sekali gus mengesahkan kejayaan projek pembangunan bakat Arteta yang bermula sejak beliau dilantik sebagai pengurus pada 2019.

Bekas kapten Arsenal itu yang sebelum ini dianggap sebagai pertaruhan berisiko kerana tiada pengalaman kejurulatihan utama, berjaya membina semula kelab London tersebut sehingga kembali ke puncak bola sepak England.

Arteta, yang pernah menjadi pembantu kepada Pep Guardiola di Manchester City, banyak mengakui pengaruh besar bekas mentornya itu dalam membentuk falsafah kejurulatihannya.

“Sebagai pemain dan juga jurulatih, Guardiola adalah inspirasi kepada saya, dan beliau yang telah membuat keputusan untuk mempercayai saya, melantik saya sebagai penolong jurulatih.

“Saya akan sentiasa berterima kasih kepadanya, jika tidak saya tidak akan berada di sini,” katanya.

Arteta melakukan rombakan besar pasukan termasuk melepaskan beberapa pemain utama bagi membentuk keseimbangan serta keharmonian skuad/ foto FB Arsenal

Dalam masa yang sama, beliau turut dipengaruhi pengalaman bekerjasama dengan David Moyes ketika di Everton, khususnya dalam aspek pembinaan pasukan dan pemilihan karakter pemain.

Dalam usaha membina semula Arsenal, Arteta tidak teragak-agak melakukan rombakan besar termasuk melepaskan beberapa pemain utama seperti Pierre-Emerick Aubameyang dan Mesut Özil bagi membentuk keseimbangan serta keharmonian skuad.

Walaupun pada peringkat awal projeknya Arsenal bergelut dengan prestasi tidak konsisten termasuk penamat di tangga kelapan serta kegagalan kembali ke Liga Juara, beliau terus diberikan kepercayaan oleh kelab.

Selepas beberapa musim menamatkan saingan di tempat kedua, Arsenal akhirnya berjaya menamatkan penantian apabila dinobatkan sebagai juara EPL musim ini.

Kejayaan itu turut membuka peluang kepada Arsenal untuk melengkapkan musim bersejarah sekiranya menewaskan Paris Saint-Germain dalam perlawanan akhir Liga Juara di Budapest pada 30 Mei ini. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.