
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Jawatankuasa Road To Gold (RTG) dalam pertimbangan untuk menyenaraikan semula legenda basikal trek negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, ke dalam program elit itu.
- Kriteria RTG jelas: pelumba mesti berada dalam kelompok lapan terbaik dunia untuk diterima semula.
- Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam, berkata pihaknya sentiasa terbuka menerima beliau kembali jika syarat dipenuhi.
- Azizulhasni kini berada di kedudukan ke-23 dunia selepas dua emas keirin dan gangsa pecut di Siri Trek Piala Dunia.
Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam, bagaimanapun berkata pelumba yang mendapat julukan the pocket rocketman itu, perlulah menepati krieteria yang ditetapkan iaitu perlu berada di kelompok lapan terbaik dunia.
“Untuk program RTG, kita mengharapkan prestasi Datuk Muhammad Azizulhasni yang semakin lama semakin baik boleh diterima masuk dalam program RTG. Kami sentiasa terbuka buat Datuk Muhammad Azizulhasni kembali semula ke RTG.
“Tetapi sebagaimana semua tahu kriteria RTG adalah jelas, setelah mereka capai kedudukan lapan terbaik dunia, beliau akan diterima semula secara automatik,” katanya semalam.
Untuk rekod, Datuk Muhammad Azizulhasni ketika ini berada di kedudukan ke-23 dunia hasil daripada dua pingat emas dalam acara keirin di Siri Trek Piala Dunia baru-baru ini.
Selain itu beliau juga turut cemerlang meraih gangsa dalam acara pecut individu juga pada Siri Trek Piala dunia yang berlangsung di Nilai dan Perth Australia. – BERNAMA