
KUALA LUMPUR, 27 Januari – Kejayaan luar biasa dipamerkan oleh seluruh atlet para negara pada Sukan Para ASEAN 2025 yang melabuhkan tirainya semalam mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan.
- PM Anwar ucap tahniah dan penghargaan atas kegigihan atlet para negara yang tidak jadikan keterbatasan penghalang.
- Beliau puji nilai usaha, disiplin dan keyakinan diri yang ditonjolkan atlet sebagai inspirasi negara.
- Prestasi kontinjen negara memperbaiki pencapaian sebelumnya dan menunjukkan kebangkitan dalam sukan para serantau.
Menurut Datuk Seri Anwar, kejayaan itu mencerminkan semangat juang atlet para negara yang tidak pernah menjadikan keterbatasan sebagai penghalang dalam mengejar impian.
“Saya tersentuh melihat kegigihan kalian mengejar impian tanpa pernah menjadikan keterbatasan sebagai alasan.
“Terima kasih kerana mengingatkan kita semua tentang makna sebenar usaha, disiplin dan keyakinan diri.Tahniah wira negara,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.
Prestasi cemerlang kontinjen negara menyaksikan Malaysia meraih keseluruhan 201 pingat, merangkumi 64 pingat emas, 64 perak dan 73 gangsa.
Pencapaian itu sekali gus membolehkan Malaysia menamatkan kempen Sukan Para ASEAN 2025 di kedudukan ketiga keseluruhan dan memperbaiki pencapaian edisi 2023.