Alaves, Sevilla buka musim La Liga dengan kemenangan

Perlawanan pembukaan musim La Liga antara Alaves dengan Getafe

VITORIA, 16 Ogos — Alaves memulakan kempen La Liga 2026/2027 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Getafe yang beraksi dengan 10 pemain, manakala Sevilla meraih kemenangan dramatik 2-1 menentang Rayo Vallecano.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kiko Femenia dilayangkan kad merah selepas terjahan tinggi, melemahkan Getafe pada penghujung separuh masa pertama.
  • Nahuel Tenaglia menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-73.
  • Mariano, bekas penyerang Real Madrid, meledak rembatan cantik dari luar kotak pada masa kecederaan.
  • Jon Guridi menyamakan menerusi penalti; Peque menyempurnakan penalti masa kecederaan; Kike Salas turut mendapat kad merah.

Rentak permainan Getafe terjejas selepas kad merah dilayangkan kepada Kiko Femenia pada penghujung separuh masa pertama setelah melakukan terjahan tinggi.

Alaves kemudian memanfaatkan kelebihan pemain apabila Nahuel Tenaglia menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-73.

Bekas penyerang Real Madrid, Mariano, menggandakan kelebihan tuan rumah menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti pada masa kecederaan, sekali gus memastikan pasukan kendalian Quique Sanchez Flores membuka musim dengan kemenangan.

Alaves melengkapkan kemenangan itu dengan Mikel Rodriguez meledakkan gol ketiga selepas menerima hantaran daripada Mariano, ketika Getafe semakin hilang kawalan pada masa tambahan.

Dalam satu lagi perlawanan pembukaan musim baharu, Sevilla gagal mencari rentak apabila kesilapan pertahanan membolehkan Alvaro Garcia membuka jaringan pada awal permainan.

Bagaimanapun, Sevilla kendalian Luis Garcia bangkit pada separuh masa kedua dan menyamakan kedudukan menerusi Jon Guridi yang menyempurnakan sepakan penalti.

Sevilla kemudian turut kehilangan seorang pemain apabila Kike Salas dilayangkan kad merah dengan baki dua minit permainan.

Namun, Sevilla berjaya mencuri kemenangan pada penghujung perlawanan selepas penyerang Scotland, Robbie Ure, dijatuhkan dalam kotak penalti pada masa kecederaan.

Bekas pemain akademi Barcelona, Peque, mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan sepakan penalti dan melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gawang bagi memastikan Sevilla membawa pulang tiga mata.

Sementara itu, Villarreal akan bertandang ke laman pasukan yang baru dinaikkan ke La Liga, Racing Santander, pada Ahad.

Atletico Madrid pula akan memulakan kempen mereka di laman sendiri menentang Malaga pada Rabu.

Real Madrid kendalian Jose Mourinho akan beraksi pada 22 Ogos dengan bertandang ke Espanyol, manakala juara bertahan Barcelona akan berdepan Elche pada 23 Ogos. — AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.