
BUKIT JALIL, 10 Januari – Beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, muncul sebagai satu-satunya wakil Malaysia yang mara ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Malaysia selepas menewaskan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Reza Pahlevi Isfahani, di Axiata Arena.
- Aaron Chia–Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia selepas menewaskan pasangan Indonesia dalam dua set.
- Kejayaan mereka menyelamatkan maruah tuan rumah selepas kebanyakan wakil Malaysia tersingkir awal.
- Mereka akan berdepan Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri, lawan sukar yang pernah menewaskan mereka sebelum ini.
Kejayaan itu sedikit sebanyak menyelamatkan maruah kontinjen tuan rumah selepas kempen negara menyaksikan kebanyakan wakil perseorangan dan beregu tersingkir seawal pusingan kedua.
Didorong sokongan padu penonton, pasangan nombor dua dunia itu mempamerkan aksi konsisten untuk mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-10 dalam tempoh 34 minit, sekali gus merekodkan kemenangan kedua mereka ke atas gandingan Indonesia berkenaan daripada enam pertemuan.
Wooi Yik berkata fokus utama mereka kini adalah mengekalkan momentum serta konsistensi dalam setiap perlawanan.
“Kami hanya mahu meneruskan momentum ini. Sudah tentu kami gembira dengan permainan hari ini, namun yang lebih penting adalah untuk kekal konsisten. Tekanan tidak terlalu dirasai ketika ini dan kami hanya perlu kekal fokus, terutamanya sebagai pemain senior dalam pasukan,” katanya.
Di separuh akhir hari ini, Aaron–Wooi Yik dijadualkan bertemu satu lagi pasangan Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri, yang pernah menewaskan mereka dalam satu-satunya pertemuan sebelum ini.
Aaron mengakui cabaran menanti bukan mudah, namun yakin persiapan rapi mampu memberi kelebihan buat mereka.
“Fajar dan Fikri bukan lawan yang mudah. Kami pernah bertemu mereka tahun lepas, jadi untuk tahun ini kami akan membuat persiapan yang lebih baik dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok,” katanya.
Sementara itu, satu lagi wakil beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, tersingkir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae, straight set 17-21, 14-21 dalam tempoh 41 minit.
Kekalahan itu menyaksikan pasangan ranking kelima dunia berkenaan gagal menamatkan badi kekalahan kepada pasangan nombor satu dunia itu apabila tewas buat kali keenam berturut-turut.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Wei Chong–Kai Wun di Terbuka Malaysia dicatat pada edisi lalu apabila mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada pasangan China, Chen Boyang–Liu Yi.