
KUALA LUMPUR, 10 Januari – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan penguasaan dalam Liga Super musim ini apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
- JDT mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC.
- Manuel Hidalgo selamatkan maruah JDT dengan tandukan pada masa kecederaan.
- Oscar Arribas memberikan hantaran kemas yang menghasilkan gol kemenangan.
- Perlawanan penuh intensiti tinggi dan beberapa pemain menerima kad kuning.
Gol tunggal JDT itu adalah hasil tandukan tepat Manuel Hidalgo pada minit akhir tambahan separuh masa kedua sebagai penyudah hantaran Oscar Arribas.
Terdahulu pada babak pertama, perlawanan berlangsung dalam intensiti tinggi dan penuh agresif sehingga beberapa pemain daripada kedua-dua pasukan dilayangkan kad kuning.
Aksi mula panas apabila NSFC memperoleh sepakan percuma pada minit ketujuh selepas pemain JDT Muhammad Syahmi Safari mengasari Jovan Motika, namun peluang keemasan itu gagal dimanfaatkan untuk menembusi gawang lawan.
JDT hampir memecah kebuntuan pada minit ke-18 menerusi rembatan deras Oscar Arribas bagaimanapun penjaga gol NSFC, Muhammad Azri Abdul Ghani, tampil cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Beberapa minit kemudian, JDT sekali lagi mengancam gawang tuan rumah menerusi percubaan jarak jauh Ager Aketxe Barrutia namun berjaya diselamatkan Muhammad Azri.
Memasuki babak kedua, JDT tampil lebih garang dengan beberapa percubaan sebelum Hidalgo akhirnya menjaringkan gol kemenangan Harimau Selatan pada masa kecederaan.- BERNAMA