
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengadakan lawatan ke Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) di Jalan Raja hari ini.
- Keberangkatan disambut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir serta pegawai lain.
- Baginda melawat Balai Pertemuan (Confluence Hall) dan Balai Gagasan, meninjau Balkoni atas Porte Cochere dan School of Hard Knocks.
- Amirul Feisal anggap lawatan sebagai penghargaan besar terhadap usaha Khazanah memulihara sejarah negara.
- Selebih 200,000 pengunjung direkodkan sejak pembukaan semula BSAS pada 2 Februari, menunjukkan sambutan menggalakkan.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 10.30 pagi itu disambut Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Turut hadir menyambut keberangkatan baginda, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail dan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.
Baginda kemudian berkenan melawat Balai Pertemuan (Confluence Hall) yang menempatkan galeri mengenai asal usul Kuala Lumpur.
Sultan Kedah turut melawat Balai Gagasan yang menampilkan model pembangunan ibu kota dan paparan multimedia berkaitan ibu kota.
Baginda kemudian dibawa meninjau Balkoni atas Porte Cochere sebelum meneruskan lawatan ke School of Hard Knocks by Royal Selangor dan mengakhiri lawatan dengan menghadiri majlis santapan ringkas.
Baginda berangkat meninggalkan Bangunan Sultan Abdul Samad pada kira-kira 1.15 tengah hari.
Dalam pada itu, Amirul Feisal menyifatkan keberangkatan Sultan Kedah ke BSAS sebagai satu penghargaan besar kepada Khazanah Nasional.
“Kami amat berbesar hati dan sangat menghargai keberangkatan Tuanku Sultan Kedah ke sini. Lawatan ini menunjukkan penghargaan terhadap usaha kami memulihara sejarah negara dan ia amat bermakna bukan sahaja kepada Khazanah, malah kepada seluruh masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas keberangkatan Sultan Kedah.
Beliau berkata sambutan orang ramai terhadap BSAS amat menggalakkan apabila lebih 200,000 pengunjung direkodkan sejak bangunan itu dibuka kepada orang ramai bermula 2 Februari lalu.
“Kebanyakan generasi muda melihat ke hadapan, tetapi jangan lupa dari mana kita datang. Kita perlu memahami asal usul dan menghargai sejarah negara kerana itulah yang membentuk jati diri kita,” katanya.
Pada 31 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan BSAS Fasa Satu yang menandakan pembukaan semula Blok 1 selepas kerja konservasi dan pemuliharaan selama 11 bulan.