
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Sebanyak 18 acara sukan dicadangkan untuk dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia, namun jumlah berkenaan masih boleh berubah selepas perbincangan lanjut minggu ini.
- 18 acara sukan dicadangkan untuk ASEAN Para Games 2027 tetapi jumlah masih boleh berubah selepas perbincangan lanjut.
- Cadangan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Gabenor Persekutuan Sukan Para ASEAN yang melibatkan 11 negara ASEAN.
- Mesyuarat turut membincangkan beberapa usul baharu berkaitan penganjuran temasya.
- Keputusan muktamad mengenai bilangan dan jenis sukan dijangka selepas mesyuarat; Malaysia dijadual menjadi tuan rumah Oktober 2027.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin berkata cadangan berkenaan antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Gabenor (BoG) Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) yang melibatkan 11 negara ASEAN.
“Kita telah menetapkan 18 acara sukan dan jumlah itu mungkin bertambah atau berkurang. Perkara itu akan kita bincangkan pada minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung dari 7 hingga 11 September itu turut akan membincangkan beberapa usul baharu berkaitan penganjuran temasya berkenaan.
Keputusan mengenai jumlah dan jenis sukan yang dipertandingkan dijangka dimuktamadkan selepas mesyuarat berakhir.
Malaysia dijadual menjadi tuan rumah ASEAN Para Games ke-14 pada Oktober 2027.