
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pembangunan bakat sepak takraw negara perlu dimulakan di peringkat awal atau sekolah bagi memastikan Malaysia mempunyai barisan pelapis yang mampu meneruskan kecemerlangan skuad kebangsaan di persada antarabangsa.
- Usaha mencungkil dan membangunkan bakat muda mesti dilakukan secara berterusan, bukan hanya apabila atlet sudah berusia 18 tahun ke atas.
- Pembangunan sukan perlu berterusan pada semua peringkat untuk memastikan kesinambungan dan prestasi pasukan kebangsaan.
- Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 menjadi platform mencungkil bakat bawah 16 tahun menerusi zon selatan/tengah (Negeri Sembilan), utara (Kedah) dan timur (Terengganu).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata usaha mencungkil dan membangunkan bakat muda perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya bermula apabila seseorang atlet mencapai usia 18 tahun ke atas.
Katanya, pembangunan sukan tidak boleh terhenti pada satu peringkat sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan prestasi negara.
“Pembangunan sukan itu tak boleh terhenti di sini. Ia mesti berterusan. Dan berterusan ini tak boleh tunggu dia dah umur 18 tahun, 19 tahun, 20 tahun baru kita nak mencari ruang dan peluang untuk diberikan. Ia mesti bermula daripada sekolah lagi, bermula pada peringkat bawah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 anjuran bersama Harian Metro dan McDonald’s Malaysia di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohammed Taufiq berkata skuad sepak takraw negara dijadualkan berlepas ke Jepun pada 16 September ini bagi menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan kejayaan skuad negara pada temasya berkenaan yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.
“Semoga membawa pulang kemenangan yang hebat bukan hanya untuk pasukan, bukan hanya untuk jurulatih atau atlet, tapi yang lebih besar daripada itu, kemenangan ini adalah milik rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam pada itu, Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 menjadi platform mencungkil bakat muda berusia 16 tahun ke bawah menerusi saingan di tiga zon, iaitu zon selatan/tengah di Negeri Sembilan, zon utara di Kedah dan zon timur di Terengganu.
Pentas akhir kebangsaan pula dijadualkan berlangsung di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur pada November ini.