Rayuan Selangor FC ditolak, aksi Piala FA tanpa penyokong kekal

FAM memaklumkan, Mahkamah Timbang Tara melalui Emergency Sole Arbitrator semalam menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay) yang difailkan Kelab Bola Sepak Selangor./ RTM

KUALA LUMPUR, 8 September – Selangor FC terpaksa menerima hakikat beraksi tanpa penyokong apabila turun menentang Sabah dalam perlawanan Piala FA musim 2026/2027 di gelanggang sendiri, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selangor FC akan beraksi tanpa penyokong menentang Sabah dalam perlawanan Piala FA di gelanggang sendiri pada 9 September.
  • Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh Selangor FC ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara.
  • Hukuman tanpa kehadiran penyokong itu dijatuhkan selepas keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan dikekalkan Jawatankuasa Rayuan FAM.
  • Proses pendengaran penuh bagi rayuan masih terbuka dan akan diteruskan mengikut proses timbang tara yang ditetapkan.

Ini selepas Mahkamah Timbang Tara melalui Emergency Sole Arbitrator semalam menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay) yang difailkan Kelab Bola Sepak Selangor.

FAM dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu bermakna hukuman bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong kekal berkuat kuasa bagi perlawanan menentang Sabah pada 9 September.

“Permohonan stay (penangguhan pelaksanaan hukuman) yang difailkan oleh Kelab Bola Sepak Selangor bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong telah ditolak,” menurut kenyataan itu.

Permohonan berkenaan dibuat susulan hukuman yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 15 November 2025 dan kemudiannya dikekalkan Jawatankuasa Rayuan FAM pada 26 November 2025.

Hukuman tersebut susulan insiden yang melibatkan kelakuan penyokong serta penganjuran perlawanan.

Menurut FAM, permohonan secara kecemasan itu dibuat di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 dan telah didengar pada pukul 5 petang semalam.

Bagaimanapun, keputusan menolak permohonan penangguhan itu tidak menutup ruang rayuan Selangor FC terhadap kes berkenaan.

FAM memaklumkan proses pendengaran penuh berhubung rayuan kelab itu masih terbuka dan akan diteruskan mengikut proses timbang tara yang ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.