
PARIS, 8 September – Paris Saint-Germain (PSG) yang telah mencipta sejarah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dua musim berturut-turut kini mengintai pencapaian lebih luar biasa, untuk kali ketiga.
- Luis Enrique membawa perubahan ketara sejak 2023, memajukan PSG ke peringkat lebih dalam tanpa bergantung kepada satu dua bintang.
- Jadual padat membelenggu PSG: 121 perlawanan kompetitif dalam dua musim, rehat singkat dan kebimbangan pemain keletihan.
- Format baharu Liga Juara-Juara menambah cabaran; kejuaraan kini memerlukan sehingga 17 perlawanan setiap musim.
- Perubahan skuad: jual beberapa pemain, tandatangan Ferran Torres dan Akliouche; Luis Enrique kekal sehingga 2030 memberi kestabilan projek.
Kapten PSG, Marquinhos, mengakui sasaran itu bukan mudah, namun pasukan kendalian Luis Enrique bertekad untuk merealisasikannya.
“Melakukan tiga kejuaraan berturut-turut adalah objektif kami, tetapi kami tahu ia amat sukar dan akan ada halangan di sepanjang perjalanan,” katanya menjelang kempen baharu.
Selepas bertahun-tahun kecewa dalam saingan Eropah, PSG mula menunjukkan perubahan ketara selepas bekas jurulatih Barcelona dan Sepanyol itu dilantik pada 2023.
PSG mara ke separuh akhir pada musim pertama Luis Enrique sebelum mencapai kejayaan lebih besar selepas Kylian Mbappe meninggalkan kelab itu pada 2024.
Tanpa lagi bergantung kepada seorang atau dua pemain bintang, PSG muncul juara Liga Juara-Juara buat kali pertama pada 2025 selepas membelasah Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir.
Mereka kemudian mempertahankan kejuaraan itu musim lalu dengan menewaskan juara Liga Perdana Inggeris, Arsenal, menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Budapest.
Kejayaan itu menjadikan PSG hanya pasukan kedua yang berjaya mempertahankan trofi sejak format moden Liga Juara-Juara diperkenalkan pada 1992.
Namun, mencipta hatrik kejuaraan berturut-turut berada pada tahap berbeza.
Real Madrid pernah melakukannya di bawah kendalian Zinedine Zidane dari 2016 hingga 2018, manakala Ajax kendalian Johan Cruyff dan Bayern Munich yang diterajui Franz Beckenbauer masing-masing memenangi tiga Piala Eropah berturut-turut pada 1970-an.
Real Madrid pimpinan Alfredo Di Stefano pula memenangi lima edisi berturut-turut pada peringkat awal pertandingan antara 1956 hingga 1960.
PSG kini berharap dapat menyertai kelompok elit itu, namun cabaran dalam saingan kelab tertinggi Eropah semakin besar, terutama selepas pengenalan format baharu Liga Juara-Juara.
Dalam dua musim lalu, PSG perlu beraksi dalam 17 perlawanan bagi memenangi trofi berkenaan.
Ketika berada pada prestasi terbaik, kekuatan serangan PSG diketuai Ousmane Dembele dan Khvicha Kvaratskhelia mampu memberi ancaman besar, dengan kelajuan mereka disokong bek sayap Achraf Hakimi dan Nuno Mendes.
Di bahagian tengah pula, Vitinha menjadi tonggak utama dalam mengawal permainan walaupun berdepan lawan yang lebih fizikal.
Kekuatan itu membantu PSG memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara dan dua Piala Super UEFA, termasuk selepas berdepan pasukan Liga Perdana Inggeris sebanyak 18 kali dalam tempoh dua tahun.
Bagaimanapun, jumlah perlawanan yang padat menjadi kebimbangan utama PSG.
Kelab itu telah mengharungi 121 perlawanan kompetitif dalam tempoh dua musim lalu dengan hanya mendapat rehat selama tiga minggu di antara kedua-dua musim susulan penyertaan dalam Piala Dunia Kelab.
Sebahagian besar pemain mereka juga terbabit dalam kejohanan utama pada 2024 dan sekali lagi berdepan tempoh cuti musim panas yang singkat susulan Piala Dunia.
Keadaan itu mungkin menjelaskan mengapa PSG kelihatan sedikit berkarat pada awal kempen musim ini.
Bagaimanapun, kelebihan mereka berbanding pasukan lain dalam saingan domestik Perancis masih cukup besar untuk menjadikan PSG pilihan utama menjuarai Ligue 1 sekali lagi, terutama jika Luis Enrique memilih untuk merehatkan pemain utama secara berkala bagi memastikan mereka cergas untuk Liga Juara-Juara.
Kempen Eropah PSG juga bermula dengan lawan yang dianggap lebih mudah apabila mereka dijadualkan menentang Slovan Bratislava, sebelum cabaran lebih besar menanti pada Oktober apabila mereka bertandang ke Manchester City dan menerima kunjungan Barcelona.
PSG turut melakukan beberapa perubahan terhadap skuad apabila menjual Bradley Barcola kepada Liverpool dengan nilai perpindahan yang besar.
Goncalo Ramos, Lee Kang-in dan Ibrahim Mbaye, yang menjadi pilihan berguna dalam skuad musim lalu, turut meninggalkan kelab itu.
Sebagai ganti, Maghnes Akliouche, yang mewakili Perancis pada Piala Dunia, serta Ferran Torres menjadi antara rekrut utama baharu PSG.
Torres sebelum ini pernah beraksi di bawah Luis Enrique bersama skuad kebangsaan Sepanyol.
“Dia seperti seorang bapa dalam bola sepak kepada saya ketika saya bermain untuknya dalam pasukan kebangsaan,” kata Torres selepas menyertai PSG dari Barcelona.
Kini, Luis Enrique sendiri dilihat sebagai tonggak utama projek PSG selepas jurulatih itu menandatangani kontrak baharu untuk kekal di Paris sehingga 2030.
“Ini kali pertama saya kekal selama empat tahun di kelab yang sama dan saya lebih bermotivasi berbanding ketika tahun pertama,” katanya sambil menegaskan keterujaannya untuk terus mencipta kejayaan tidak pernah luntur.
Jika PSG berjaya mengekalkan prestasi terbaik mereka, kelab itu berpeluang menyertai kelompok kecil pasukan yang pernah memenangi Liga Juara-Juara atau Piala Eropah tiga kali berturut-turut. – AFP