
BANTING, 26 November – Satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang dibuka pukul 8 pagi tadi, bagi menempatkan 783 penduduk yang terjejas banjir.
- Aliran deras dari Hulu Langat, air pasang besar dan hujan lebat meningkatkan tekanan hingga menyebabkan ban RTB pecah.
- Dua unit pam disediakan, manakala pemantauan dan rondaan berkala dijalankan serta dua pos kawalan dibuka.
- JPS Selangor membaiki bahagian ban yang pecah dengan sasaran siap dalam 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar menerusi kenyataan memaklumkan, kesemua penduduk itu dipindahkan susulan fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang mengakibatkan struktur ban RTB yang pecah.
Beliau berkata ia berpunca daripada aliran air yang luar biasa deras dari kawasan Hulu Langat, ditambah fenomena air pasang besar serta hujan lebat yang meningkatkan tekanan terhadap struktur benteng.
“Dua unit pam juga disediakan bertujuan mempercepat proses pengepaman air keluar, selain pam statik sedia ada.
“Pihak kami juga melaksanakan pemantauan serta rondaan berkala sebagai langkah berjaga-jaga dan membuka dua pos kawalan di lokasi terjejas bagi melancarkan operasi pemindahan kecemasan,”katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan menutup bahagian ban yang pecah dengan sasaran penyelesaian dalam tempoh 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca.