
NEW YORK, 25 November – China menyeru supaya teknologi baharu muncul digunakan secara berhemah serta dikendalikan dengan baik dan munasabah.
- Risiko keselamatan teknologi perlu ditangani bersama, sementara manfaat pembangunan teknologi dikongsi semua pihak.
- Kerjasama antarabangsa perlu diperkukuh bagi mewujudkan pembangunan teknologi yang terbuka, inklusif dan tanpa diskriminasi.
- PBB perlu memainkan peranan utama dalam tadbir urus teknologi global, dengan keselamatan terkawal dan kawalan manusia sebagai keutamaan.
Risiko keselamatan dalam reformasi teknologi perlu dipikul bersama oleh pelbagai negara, manakala limpahan manfaat daripada pembangunan bidang berkenaan juga wajar dinikmati dan dikongsi oleh semua pihak.
Perkara itu ditegaskan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong ketika berucap dalam sesi Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai Penyelesaian Konflik dalam Era Perubahan Teknologi yang Pesat di sini, pada Selasa.
Fu mengesyorkan agar kerjasama perdagangan antarabangsa dan pertukaran dalam bidang teknologi dijalankan secara proaktif antara pelbagai pihak, di samping bersinergi membina persekitaran pembangunan teknologi yang terbuka, inklusif, universal dan tanpa diskriminasi.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan hak setiap negara untuk menggunakan teknologi bagi tujuan aman, selain mengelak daripada membesar-besarkan konsep “keselamatan negara”, membina halangan teknologi, dan mencetuskan konfrontasi antara blok.
Menurut Fu, usaha perlu dipergiat untuk merapatkan jurang teknologi dan menyokong negara-negara Selatan Global mencapai pembangunan pesat dengan memanfaatkan keupayaan teknologi.
“Semua negara harus menyokong PBB memainkan peranan utama dalam tadbir urus teknologi global, di samping menggalakkan pembentukan rangka kerja dan standard tadbir urus yang mendapat persetujuan meluas.
“Tidak kira bagaimana teknologi berubah, semua negara harus sentiasa berpegang teguh pada prinsip berpaksikan rakyat, menetapkan keselamatan yang dapat dikawal sebagai keperluan asas dan garis merah, serta mengelakkan penyalahgunaan teknologi,” tegas Fu.
Beliau turut menegaskan semula kepentingan mematuhi tujuan dan prinsip Piagam PBB serta peruntukan undang-undang antarabangsa yang berkaitan, selain menentang sebarang cubaan mencabuli kedaulatan dan mencampuri urusan dalaman negara lain.
“Kita perlu mengambil tindakan proaktif bagi menangani risiko yang timbul daripada kecerdasan buatan (AI) dan risiko sampingan, bagi memastikan teknologi itu sentiasa berada di bawah kawalan manusia,” katanya. – BERNAMA-CMG