Remaja antara enam terkorban dalam serangan Israel di Gaza

Jenazah mangsa serangan bedilan Israel di kawasan Al-Maghraqa, tengah Gaza pada Selasa/ AFP

GAZA, 24 November- Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin termasuk seorang remaja berusia 17 tahun terbunuh dalam dua serangan udara Israel di Gaza pada Selasa, menurut agensi pertahanan awam wilayah itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga orang terbunuh dalam serangan udara berhampiran Bandar Gaza.
  • Tiga lagi maut apabila serangan menyasarkan balai polis di Al-Mawasi, selatan Gaza.
  • Dua anggota polis berusia 23 dan 33 tahun antara yang terbunuh.
  • Polis Gaza mengecam serangan itu sebagai sebahagian kempen berterusan terhadap institusi kepolisan, meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober 2025.

Jurucakap agensi berkenaan, Mahmoud Bassal berkata tiga orang termasuk remaja berkenaan maut dalam serangan udara berhampiran Gaza City.

Tiga lagi terbunuh dalam serangan berasingan yang menyasarkan sebuah balai polis di kawasan Al-Mawasi, selatan Gaza.

Pasukan polis Gaza memaklumkan dua anggota polis berusia 23 dan 33 tahun antara yang terbunuh.

Pasukan itu turut mengecam serangan berkenaan sebagai sebahagian daripada kempen berterusan yang menyasarkan institusi kepolisan di wilayah Palestin itu.

Serangan terbaharu itu berlaku meskipun gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa sejak Oktober 2025, selepas dua tahun peperangan yang tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 1,650 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.