
KUANTAN, 23 November – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang diberi maklum bahawa kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif melalui pelaksanaan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan sebagai inisiatif tambahan bertujuan melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kos sara hidup.
- Peruntukan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan meningkat 200 peratus kepada RM7.56 juta tahun ini.
- Program menawarkan subsidi atau potongan harga bagi barangan keperluan harian untuk mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.
- Golongan berpendapatan rendah dan sederhana menjadi antara kumpulan yang dibantu melalui program ini.
- Sehingga 31 Oktober, PJRM dilaksanakan sebanyak 1,733 kali, mencatatkan 1,219,511 transaksi bernilai RM66.6 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang memaklumkan sehubungan itu, peruntukan bagi tujuan itu telah meningkat sebanyak 200 peratus iaitu kepada RM7.56 juta, tahun ini berbanding RM 2.52 juta pada tahun 2025.
“Program Jualan Makmur Kluster Perayaan bertujuan memperluas akses rakyat kepada barangan keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan melalui pemberian subsidi atau potongan harga, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Untuk tahun ini sehingga 31 Oktober lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Pahang telah melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) sebanyak 1,733 kali.
“Dan sehingga tarikh berkenaan, program itu telah mencatatkan sebanyak 1,219,511 transaksi melibatkan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM66,606,704.49,”katanya sebagai menjawab soalan ADUN Ketari, Su Keong Siong pada sesi soal lisan.