
KLANG, 22 November – Penganjuran Royal Klang Marathon 2026 berjaya menarik kira-kira 5,000 peserta termasuk dari luar negara, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.
- Peserta antarabangsa dari Korea Selatan, Pakistan, United Kingdom dan Jepun membuka peluang kepada hotel, restoran dan perniagaan tempatan.
- Kehadiran pelari luar negara merancakkan aktiviti pelancongan dan mempromosikan produk serta tarikan tempatan kepada pengunjung.
- Acara menawarkan empat kategori larian 42, 21, 10 dan 5 kilometer; penganjuran akan digalakkan memperkenalkan Klang sebagai destinasi pelancongan.
Datuk Bandar Diraja Klang, Datuk Abd Hamid Hussien berkata, penyertaan peserta antarabangsa termasuk dari Korea Selatan, Pakistan, United Kingdom dan Jepun turut membuka peluang kepada pengusaha hotel, restoran serta premis perniagaan sekitar daerah itu.
Menurutnya, kehadiran peserta luar negara bukan sahaja merancakkan aktiviti pelancongan, malah membantu mempromosikan produk dan tarikan tempatan kepada lebih ramai pengunjung.
“Kalau kita lihat peserta daripada luar negara, sudah tentu mereka akan menginap di hotel-hotel sekitar sini, makan di kedai-kedai dan mengambil kesempatan untuk berjalan serta membeli-belah.
“Ia merupakan satu usaha untuk menarik pelancong ke daerah Klang supaya ekonomi di daerah ini terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta acara larian 5 kilometer (km) yang turut disertainya sempena Royal Klang Marathon 2026 pagi tadi.
Acara berkenaan mempertandingkan empat kategori iaitu 42 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer.
Menurut Abd Hamid, penganjuran acara seumpama itu akan terus digalakkan bagi menarik lebih ramai pengunjung serta memperkenalkan Klang sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai pelbagai tarikan.