Khadam ungguli FFM35 dengan 10 anugerah, termasuk Filem Terbaik

Datuk Seri Fahmi Fadzil (lima dari kanan) bersalaman dengan kru filem Khadam / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 November – Filem Khadam mendominasi Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) apabila merangkul 10 anugerah, termasuk Filem Terbaik pada acara kemuncak di Panggung Sari, Istana Budaya, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemenang menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) RM1 juta dan trofi, mencerminkan komitmen Kementerian Komunikasi melalui FINAS.
  • Shamyl Othman dinobat Pengarah Terbaik; Zarra Zhaff Pelakon Pembantu Wanita Terbaik; Khadam menang kategori lakon layar, sinematografi, bunyi, skor, lagu tema, tatarias.
  • Filem Badak meraih tiga anugerah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik (Shaheizy Sam) dan Pelakon Wanita Terbaik (Aida Amron).
  • FFM35 catat sejarah: Anugerah Khas Sepanjang Zaman kepada Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud; Pansha terima Anugerah Karyawan; Istana Budaya tuan rumah pertama.

Anugerah berprestij berkenaan disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dengan pemenang menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta dan trofi.

Pemberian dana menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu mencerminkan komitmen Kementerian Komunikasi dalam memastikan kesinambungan penghasilan karya kreatif tempatan.

Inisiatif tersebut juga bertujuan meningkatkan keupayaan penerbitan filem negara serta menggalakkan penghasilan karya berkualiti, inovatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kemenangan dalam kategori utama itu menyaksikan Khadam mengetepikan empat pencabar lain, iaitu Mother Bhumi, Malam Terlarang, Macai dan Abah Saya Uncle Mike.

Kecemerlangan Khadam diteruskan apabila pengarahnya, Shamyl Othman dinobat sebagai Pengarah Terbaik, manakala Zarra Zhaff membawa pulang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Filem itu turut mengungguli enam kategori lain, iaitu Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik serta Tatarias atau Solekan Terbaik.

Penguasaan Khadam dilengkapkan menerusi Anugerah Khas Juri yang diberikan kepada Aghniny Haque.

Sementara itu, filem Badak meraih tiga anugerah, iaitu Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Shaheizy Sam, Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Aida Amron serta Anugerah Khas Juri.

FFM35 turut mencipta sejarah apabila buat julung kalinya, Anugerah Khas Sepanjang Zaman diberikan kepada dua tokoh seni tersohor iaitu Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud.

Pengarah veteran, Panchacharam P. Nalliah atau Pansha menerima Anugerah Khas Karyawan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam industri perfileman tempatan.

Bertemakan ‘Spektrum Sinema’, FFM35 turut mencatat sejarah apabila Istana Budaya dipilih buat pertama kali sebagai lokasi utama penganjurannya, sekali gus memperkukuh peranan institusi seni dan budaya negara dalam memartabatkan industri kreatif tempatan.

Acara kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 itu menghimpunkan penggiat industri perfileman pelbagai generasi, termasuk penerbit, pengarah, pelakon dan tenaga kreatif di belakang tabir.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.