Lebih 1,100 kanak-kanak terbunuh, cedera di Ukraine tahun ini – UNICEF

Foto UNICEF

GENEVA, 20 November – Sekurang-kurangnya 1,100 kanak-kanak terbunuh atau cedera di Ukraine tahun ini, dengan purata tiga orang sehari – angka korban tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

RINGKASAN BERITA AI
  • UNICEF: antara Januari hingga Oktober, 114 kanak-kanak terbunuh dan 1,030 cedera; angka sebenar mungkin lebih tinggi.
  • Bulan lalu sahaja, sekurang-kurangnya 146 kanak-kanak terbunuh atau cedera, meningkat 150 peratus berbanding tahun lalu.
  • Serangan peluru berpandu, dron bersenjata dan serangan terhadap infrastruktur tenaga dan air meletakkan kanak-kanak dalam risiko terutama semasa musim sejuk.

Agensi Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menyatakan, antara Januari hingga Oktober, sekurang-kurangnya 114 kanak-kanak terbunuh manakala 1,030 lagi cedera, menjadikan jumlah keseluruhan 1,144 orang, sekali gus melepasi angka yang direkodkan tahun lalu.

“Ini bermakna lebih tiga kanak-kanak terbunuh atau cedera setiap hari sepanjang tahun ini, kata jurucakap agensi berkenaan, Louise Wateridge kepada pemberita di Geneva menerusi sambungan dari Kiev.

Menurut Wateridge, jumlah kanak-kanak yang terbunuh pada tahun ini telah melebihi angka keseluruhan bagi 2025 sebanyak lebih 20 peratus, manakala jumlah kanak-kanak yang cedera meningkat hampir 60 peratus.

Angka itu hanya merangkumi jumlah korban yang disahkan oleh misi pemantauan PBB di Ukraine, bermakna jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi.

Bulan lalu sahaja, sekurang-kurangnya 146 kanak-kanak terbunuh atau cedera di seluruh Ukraine, meningkat 150 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

UNICEF menyifatkannya sebagai peningkatan yang membimbangkan.

“Serangan menggunakan peluru berpandu dan dron bersenjata terus meletakkan kanak-kanak serta keluarga dalam risiko di kediaman, sekolah dan komuniti mereka, termasuk kawasan yang jauh dari barisan hadapan,” menurut agensi itu.

Selain serangan maut, Wateridge berkata, kanak-kanak di Ukraine turut berdepan serangan berterusan terhadap infrastruktur elektrik, bekalan air dan pemanasan yang menjadi keperluan mereka.

Rusia menyasarkan grid tenaga Ukraine secara meluas sepanjang hampir lima tahun perang, menyebabkan jutaan penduduk terputus bekalan elektrik dan terpaksa menghadapi cuaca sejuk selama beberapa hari.

“Musim sejuk lalu, hampir dua juta kanak-kanak terputus bekalan pemanasan, elektrik dan air ketika suhu menjunam di bawah negatif 20 darjah Celsius,” kata Wateridge.

Ukraine kini bimbang musim sejuk kali ini mungkin menjadi yang paling buruk setakat ini. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.