
KUALA LUMPUR, 20 November – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku atau penglibatan warga badan beruniform itu dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah, khususnya yang melibatkan penggunaan pesawat serta aset ketenteraan, tanpa mengira pangkat dan jawatan.
- TUDM bekerjasama sepenuhnya dengan PDRM untuk siasatan menyeluruh dan tindakan terhadap pihak terbabit.
- Penemuan sekitar 96.6 kilogram bahan disyaki dadah di Pangkalan Udara Subang pada 17 November.
- Pemeriksaan awal mengesan bagasi tanpa pelekat pemeriksaan keselamatan, menimbulkan kecurigaan terhadap kandungan.
- HANDAU menggunakan mesin pengimbas, mengesan bungkusan mencurigakan; individu ditahan dan diserahkan kepada JSJN PDRM untuk siasatan.
Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dalam kenyataan menegaskan, TUDM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“Ketegasan dan tindakan proaktif TUDM dalam mengesan, membuat tangkapan awal, melaporkan serta menyerahkan individu yang disyaki terlibat kepada pihak berkuasa membuktikan komitmen TUDM untuk membanteras kegiatan seumpama ini daripada terus berleluasa,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian pada 17 November lalu, penemuan bahan disyaki dadah seberat 96.6 kilogram berlaku di Pangkalan Udara Subang hasil pengesanan awal petugas TUDM di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang.
Pemeriksaan awal mendapati bagasi-bagasi berkenaan dalam keadaan mencurigakan kerana tidak mempunyai pelekat pengesahan pemeriksaan keselamatan (security screening stickers) yang menunjukkan bahawa bagasi berkenaan telah menjalani pemeriksaan keselamatan.
Hasil pemeriksaan lanjut anggota keselamatan daripada Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU) menggunakan mesin pengimbas telah mengesan beberapa bungkusan mencurigakan
yang disusun dengan kemas di dalam bagasi berkenaan.
Susulan penemuan tersebut, TUDM telah mengambil tindakan awal dengan menahan individu yang disyaki terlibat serta melaporkan kepada pihak polis dan menyerahkan Orang Yang Disyaki (OYDS) kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Setakat ini lima pegawai dan dua anggota TUDM telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini.