Ekonomi perak tingkat daya saing industri tekstil, fesyen

Kuasa beli pengguna tidak lagi tertumpu kepada golongan muda, malah warga emas turut mempunyai potensi besar sebagai segmen pasaran

KUALA LUMPUR, 20 November – Pemain industri tekstil dan fesyen tempatan disaran meneroka segmen pasaran baharu termasuk ekonomi perak bertujuan meningkatkan daya saing industri, seiring perubahan demografi dan corak perbelanjaan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Warga emas 60 tahun ke atas mempunyai kuasa beli dan keperluan fesyen khusus yang perlu diambil kira oleh pemain industri.
  • Pilihan fesyen untuk golongan itu masih terhad dan kurang diberi perhatian oleh pasaran tempatan.
  • Pengusaha perlu menyesuaikan reka bentuk produk mengikut demografi menua dan strategi perniagaan menghadapi corak pembelian sepanjang tahun.
  • MITTE 2026 diharap menjadi platform perkongsian pengalaman bagi menjadikan produk tempatan seperti batik lebih relevan, menarik dan mampu milik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata golongan berusia 60 tahun ke atas mempunyai kuasa beli serta keperluan fesyen tersendiri yang perlu diteroka pemain industri.

“Kuasa beli pengguna kini tidak lagi tertumpu kepada golongan muda, malah warga emas turut mempunyai potensi besar sebagai segmen pasaran.

“Namun, pilihan fesyen yang memenuhi keperluan golongan itu masih terhad dan kurang diberi perhatian.

“Justeru, pemain industri perlu menyesuaikan reka bentuk produk dengan perubahan demografi negara yang semakin menua,”katanya ketika merasmikan Ekspo Tekstil dan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITTE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Hannah turut mengingatkan pemain industri agar tidak hanya bergantung kepada musim perayaan untuk menjana jualan sebaliknya, corak pembelian pengguna yang kini lebih aktif sepanjang tahun, termasuk menerusi platform dalam talian serta promosi bulanan, menuntut pengusaha menyesuaikan strategi perniagaan masing-masing.

Beliau berharap MITTE 2026 menjadi platform perkongsian pengalaman serta kepakaran dalam kalangan pemain industri serantau, khususnya bagi memahami perubahan pasaran global.

Usaha itu penting bagi memastikan produk tempatan termasuk batik terus relevan dan berdaya saing menerusi penawaran reka bentuk menarik serta harga yang lebih mampu milik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.