
KUANTAN, 19 November – Seramai 43 jurulatih sukan sepenuh masa di Pahang bakal menikmati kenaikan gaji antara RM200 hingga RM1,200 sebulan mulai Januari 2027.
- Gaji minimum baharu RM2,200 sebulan; kenaikan berdasarkan kelayakan, sijil kemahiran, pengalaman dan pencapaian jurulatih.
- Kerajaan Pahang sedia menawarkan pakej gaji tinggi sehingga belasan ribu ringgit dan berunding bagi pakej lebih baik kepada calon berkelayakan.
- Pengambilan menumpu sukan olahraga, silat dan angkat berat; anak jati Pahang diberi keutamaan, peluang terbuka kepada jurulatih negeri lain.
Pelarasan itu menetapkan gaji minimum baharu sebanyak RM2,200 sebulan, dengan kadar kenaikan ditentukan berdasarkan kelayakan, sijil kemahiran, pengalaman dan pencapaian setiap jurulatih.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan sukan negeri.
Dalam usaha mendapatkan tenaga kejurulatihan berkaliber, kerajaan Pahang juga bersedia menawarkan pakej gaji mencecah belasan ribu ringgit kepada calon yang mempunyai kepakaran dan rekod pencapaian cemerlang.
“Saya nak pelawa jurulatih-jurulatih di luar sana yang memang berkelayakan, yang memang berkemahiran agar cuba cari rezeki di Pahang.
“Walaupun kita dah buat pelarasan gaji itu, kita sedia berunding untuk pakej gaji bagi lebih tinggi. Kalau berminat, kita sedia nak bincang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Pahang 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Datuk Fadzli turut memaklumkan, pengambilan jurulatih tambahan akan memberi tumpuan kepada sukan olahraga, silat dan angkat berat bagi meningkatkan prestasi atlet serta mengembalikan kegemilangan Pahang dalam acara berkenaan.
Keperluan tenaga kejurulatihan turut dikenal pasti bagi sukan berbasikal, gimnastik, akuatik, renang dan skuasy.
Menurutnya, anak jati Pahang akan diberikan keutamaan, namun peluang tetap dibuka kepada jurulatih dari negeri lain yang mempunyai kelayakan dan kemahiran bersesuaian.