326 atlet Pahang terima insentif kecemerlangan RM809,050

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail / Foto FB Pahang Media

KUANTAN, 19 November – Seramai 326 atlet Pahang menerima insentif kecemerlangan dengan nilai keseluruhan RM809,050 sebagai penghargaan atas pencapaian dan sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insentif meliputi kejayaan SUKMA dan Para SUKMA, penyertaan antarabangsa serta kecemerlangan akademik SPM sebagai penghargaan kepada atlet.
  • Kerajaan negeri menaikkan kadar insentif hoki dan menembak daripada RM2,000 kepada RM3,000 seorang sebagai pengiktirafan kejayaan.
  • Kontinjen meraih banyak pingat di SUKMA dan Para SUKMA; 13 atlet dipilih ke Sukan Asia serta penghargaan kepada jurulatih dan pengurus.

Insentif berkenaan merangkumi kejayaan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026, penyertaan di peringkat antarabangsa serta kecemerlangan akademik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kadar insentif ditentukan mengikut kategori pingat yang dimenangi berdasarkan ganjaran yang diluluskan kerajaan negeri.

Beliau berkata, kejayaan itu perlu menjadi pemangkin kepada atlet untuk terus meningkatkan prestasi dan meraih lebih banyak pingat pada temasya akan datang.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan buat yang terbaik untuk membantu para atlet dan kita sentiasa memberi sokongan kepada mereka supaya mereka dapat berlatih ataupun menjalankan latihan dengan selesa, lebih teratur dan akhirnya boleh mendapat kejayaan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Pahang 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Pada majlis sama, kerajaan negeri menaikkan kadar insentif kecemerlangan bagi atlet hoki dan menembak daripada RM2,000 kepada RM3,000 seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, kenaikan itu sebagai penghargaan terhadap kejayaan kedua-dua pasukan muncul juara keseluruhan acara masing-masing pada SUKMA Selangor 2026.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri meneliti cadangan penambahbaikan insentif yang disuarakan atlet menerusi media sosial.

“Setiap seorang itu, maknanya 18 orang itu, setiap seorang dapat RM3,000. Kalau kadar sebelum ini RM2,000. Jadi sebenarnya ini juga adalah hasrat atlet. Saya dapat cadangan ini di media sosial atlet salah satu sukan ini. Bila kita perhalusi, ia boleh dilaksanakan. Jadi sebab itu kita naikkan dan mereka dah terima pun hari ini,” katanya.

Pada SUKMA Selangor 2026, kontinjen Pahang meraih 28 pingat emas, 19 perak dan 36 gangsa, dengan Cheah Zen Hong dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik temasya.

Kontinjen Para SUKMA Pahang pula membawa pulang 31 pingat, terdiri daripada tujuh emas, 11 perak dan 13 gangsa.

Seramai 13 atlet Pahang juga terpilih mewakili Malaysia ke Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.

Dalam bidang akademik, 142 atlet negeri itu mencatat kecemerlangan SPM, termasuk 16 yang memperoleh sekurang-kurangnya 8A.

Penghargaan pada majlis berkenaan juga diberikan kepada jurulatih dan pengurus pasukan atas sumbangan mereka dalam membimbing atlet sehingga mencapai kejayaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.