
PARIS, 19 November – Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), Philippe Diallo dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kozo Tashima muncul sebagai pencabar kepada penyandang jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino pada pemilihan Mac tahun depan.
- FIFA mengesahkan pencalonan, tetapi kelayakan mereka masih tertakluk kepada pemeriksaan jawatankuasa pemilihan.
- Diallo mewakili UEFA dan dijangka disokong konfederasi yang mengkritik kepimpinan Infantino.
- Tashima sedia berbincang tentang kerjasama tetapi menekankan persamaan manifesto dan strategi perlu dinilai.
- Infantino mendapat sokongan CAF dan CONMEBOL; pendapatan FIFA meningkat, namun beliau dikritik berhubung cadangan pelaburan swasta.
FIFA mengesahkan pencalonan itu, namun kelayakan mereka untuk bertanding masih tertakluk kepada penelitian jawatankuasa pemilihan badan induk bola sepak dunia berkenaan.
Diallo yang mewakili Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dijangka membawa cabaran daripada konfederasi yang lantang mengkritik kepimpinan Infantino, manakala Tashima pernah menganggotai Majlis FIFA.
Kedua-dua pencabar itu turut membuka ruang untuk mengadakan rundingan mengenai kemungkinan bekerjasama bagi menghadapi Infantino.
Tashima, 68 tahun, bagaimanapun menegaskan, sebarang kerjasama perlu mengambil kira persamaan manifesto serta strategi yang bersesuaian.
“Jelas sekali kita perlu berbincang. Namun, kita perlu mempertimbangkan sama ada persamaan manifesto sahaja mencukupi untuk membentuk kerjasama atau perlu menilai strategi paling berkesan untuk menewaskan Infantino,” katanya kepada akhbar sukan Perancis, L’Equipe.
Infantino, 56 tahun, mendapat sokongan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), selain sokongan umum badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL.
Sepanjang pentadbirannya, hasil pendapatan FIFA dan peruntukan kepada persatuan anggota meningkat dengan ketara.
Bagaimanapun, beliau turut berdepan kritikan berhubung cadangan penglibatan pelaburan swasta dalam Piala Dunia yang akhirnya tidak diteruskan.
Sementara itu, bekas pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Ramon Vega yang pernah menyatakan hasrat mencabar Infantino, tidak tersenarai dalam pencalonan diumumkan FIFA. – AFP