El Nino kuat ancam ekonomi global, lonjakkan harga makanan

Foto AFP

PARIS, 19 November – Fenomena El Nino yang dijangka mencapai tahap luar biasa kuat tahun ini berisiko melonjakkan harga makanan global sehingga 20 peratus menjelang suku pertama 2028, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • El Nino luar biasa berisiko melonjakkan harga makanan global dan menambah tekanan inflasi dunia.
  • Negara membangun, terutamanya Asia Selatan dan Afrika Sub-Sahara, dijangka menanggung impak inflasi jauh lebih besar.
  • Oxford Economics menjangka KDNK global berkurang 0.6% pada 2027 dan tambahan 0.8% pada 2028.
  • Gangguan cuaca menjejaskan perdagangan, hidroelektrik dan operasi Terusan Panama; OECD gesa pelaburan penyesuaian iklim walau kewangan awam terhad.

Menurut laporan firma pengurusan aset Generali Asset Management, unjuran itu mengambil kira kemungkinan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik meningkat dua darjah Celsius, yang boleh menjejaskan hasil pertanian dan bekalan makanan.

Negara membangun dijangka menerima kesan lebih besar, khususnya di Asia Selatan dan Afrika Sub-Sahara, dengan kadar inflasi berpotensi meningkat sehingga tiga mata peratusan.

Sementara itu, Oxford Economics mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global berisiko terjejas sekiranya fenomena berkenaan mencapai tahap kekuatan yang dibimbangi pakar.

Kesan El Nino dianggarkan boleh mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sebanyak 0.6 peratus pada 2027 dan tambahan 0.8 peratus pada 2028, berbanding unjuran tanpa gangguan cuaca berkenaan.

Fenomena itu dijangka mencapai kemuncaknya pada Disember ini sebelum berterusan sekurang-kurangnya hingga Mac tahun depan.

Selain sektor pertanian, gangguan cuaca turut memberi tekanan kepada perdagangan antarabangsa dan penjanaan hidroelektrik.

Kemarau yang mengurangkan paras air empangan berpotensi meningkatkan kebergantungan kepada minyak dan gas, ketika pasaran tenaga global berdepan tekanan susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dengan Iran.

Paras air yang rendah turut menjejaskan operasi Terusan Panama sehingga menyebabkan pergerakan kapal terpaksa dihadkan sejak September lalu.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menggesa kerajaan memperkukuh pelaburan dalam langkah penyesuaian iklim bagi meningkatkan daya tahan sektor pertanian dan infrastruktur.

Bagaimanapun, kekangan kewangan awam dan beban hutang yang tinggi terus menjadi cabaran kepada pelaksanaan usaha berkenaan di banyak negara. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.