
SEOUL, 19 November- Korea Selatan memperketat kawalan peperiksaan kemasukan universiti pada Khamis bagi membendung kegiatan meniru menggunakan kecerdasan buatan (AI) ketika kira-kira 500,000 calon menduduki peperiksaan penting itu di seluruh negara.
- Sekat sambungan Wi-Fi sekitar pusat peperiksaan, gandakan jumlah pengawas, sediakan ganjaran sehingga AS$75,000 untuk pelapor salah laku.
- Calon hanya dibenarkan membawa pensel; pemadam disediakan untuk mengurangkan risiko peranti digital disembunyikan sebagai alat tulis.
- Pihak berkuasa mengesan calon dengan telefon pintar dan kamera mini; penipuan boleh mengakibatkan larangan 10 tahun dan tindakan undang-undang.
Langkah keselamatan termasuk memutuskan sambungan Wi-Fi di sekitar pusat peperiksaan, menggandakan jumlah pengawas serta menawarkan ganjaran sehingga AS$75,000 kepada pemberi maklumat yang melaporkan kegiatan meniru.
Peperiksaan tahunan dikenali sebagai ‘Suneung’ itu berlangsung selama sembilan jam dan dianggap penentu peluang memasuki universiti berprestij serta memperoleh pekerjaan bergaji tinggi di negara berkenaan.
Tindakan memperketat kawalan susulan pendedahan seorang calon peperiksaan akauntan cukai negara yang mengaku menggunakan kamera mini dan telefon pintar untuk mendapatkan jawapan dijana AI sehingga memperoleh markah hampir sempurna.
Timbalan Menteri Pendidikan, Choi Eun-ok berkata seramai 22 calon dikesan membawa telefon pintar selepas amaran kecemasan dihantar ke seluruh negara.
Mereka akan dirujuk kepada pihak berkuasa peperiksaan bagi pemeriksaan lanjut untuk menentukan sama ada turut membawa kamera mini atau peranti elektronik lain.
Seorang calon berusia 18 tahun, Bang Min-ji berkata beliau bimbang terhadap kemungkinan penipuan menggunakan AI dalam peperiksaan itu.
“Saya datang dengan perasaan berat kerana bimbang mengenai penipuan menggunakan AI,” katanya kepada AFP.
Di bawah peraturan baharu, calon hanya dibenarkan membawa pensel, manakala pemadam disediakan oleh pusat peperiksaan bagi mengurangkan risiko peranti digital disembunyikan sebagai alat tulis.
Calon yang didapati meniru boleh dilarang menduduki semula peperiksaan selama 10 tahun dan berdepan tindakan pendakwaan.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung menawarkan ganjaran sekurang-kurangnya AS$75,000 (lebih RM308,400) kepada individu yang melaporkan salah laku, selain pengurangan hukuman bagi mereka yang mendedahkan rakan subahat. -AFP