
SHENZHEN, 19 November- Presiden China, Xi Jinping, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin dijadual mengadakan pertemuan tiga hala sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 di sini pada Khamis.
- Pertemuan berlangsung ketika perang Rusia-Ukraine berterusan, AS berdepan ketegangan dengan Iran, dan China memperkukuh pengaruh di Asia Timur.
- Agenda dijangka tumpu pada isu Ukraine, konflik Iran dan pelucutan senjata nuklear susulan tamatnya perjanjian kawalan senjata dua hala.
- Putin menegaskan dialog perlu bagi menangani ketegangan geopolitik dan menolak pendekatan kata dua atau tindakan keras.
- Xi memberi sambutan istimewa kepada Trump dengan upacara karpet merah, manakala protokol menyambut Putin berbeza.
Pertemuan yang disifatkan ‘bersejarah’ itu dijadual berlangsung tidak lebih sejam dijangka membincangkan beberapa isu utama termasuk konflik Ukraine, perang Iran dan pelucutan senjata nuklear.
Kremlin memaklumkan agenda pertemuan masih belum dimuktamadkan, namun isu Ukraine dijangka sukar diketepikan.
Berucap pada persidangan APEC, Putin menyifatkan pertemuan itu berpotensi memberi manfaat besar, sambil menekankan kepentingan dialog dalam menangani ketegangan geopolitik.
“Ketika risiko ketenteraan dan politik semakin meningkat, apa yang amat diperlukan ialah dialog dan bukannya kata dua,” katanya.
Menurut Washington, perang Iran dan pelucutan senjata nuklear turut dijangka menjadi antara perkara yang dibincangkan.
Perbincangan itu turut menarik perhatian susulan tamatnya perjanjian dua hala kawalan senjata nuklear antara AS dan Rusia pada Februari lalu.
China sebelum ini berpendirian Washington dan Moscow perlu mengurangkan simpanan senjata nuklear masing-masing sebelum Beijing bersedia menyertai rundingan berkaitan arsenal nuklearnya yang lebih kecil.
Dalam perkembangan berkaitan, Xi memberikan sambutan istimewa kepada Trump ketika ketibaan pemimpin AS itu pada Rabu, termasuk menyambutnya sendiri di lapangan terbang menerusi upacara karpet merah dan lintas hormat pesawat tentera udara.
Agensi berita rasmi China, Xinhua, melaporkan Xi berharap pertemuan itu dapat membuka ruang pertukaran pandangan mendalam mengenai hubungan China-AS, kerjasama Asia Pasifik dan perkembangan global.
Bagaimanapun, Putin disambut oleh Cai Qi, pemimpin kelima tertinggi China, mengikut protokol diplomatik lazim.
Selain pertemuan tiga hala itu, pemimpin APEC turut dijangka membincangkan isu perdagangan dan kecerdasan buatan (AI).
APEC berlangsung dari 18 hingga 19 November menghimpunkan pemimpin dan wakil daripada 21 negara serta wilayah ekonomi di rantau Asia Pasifik. -AFP