Myanmar pertimbang semula hubungan dengan ASEAN

Min Aung Hlaing/ AFP

ISLAMABAD, 19 November – Presiden Myanmar yang disokong tentera Min Aung Hlaing berkata pada Rabu pentadbirannya memutuskan untuk mempertimbangkan semula hubungan dengan blok serantau Asia Tenggara, ASEAN, namun akan meneruskan perbincangan dengan negara anggota, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media.

RINGKASAN BERITA AI
  • Min merancang persidangan damai pada Februari untuk menamatkan perang saudara dalam tempoh lima tahun pemerintahannya.
  • ASEAN bersetuju pendekatan berasaskan kemajuan untuk memulihkan perwakilan Myanmar, bergantung pada usaha konkrit pemimpin dan pihak berkepentingan.
  • Perang saudara Myanmar semakin memuncak sejak rampasan kuasa 2021, dengan beberapa kumpulan penentang bersenjata etnik bertempur melawan kerajaan tentera.

Min, yang menjadi presiden pada April selepas pilihan raya yang dikritik hebat dan didominasi parti yang disokong tentera, memberitahu Parlimen bahawa beliau merancang mengadakan persidangan damai pada Februari bagi menamatkan perang saudara dalam tempoh lima tahun pemerintahannya, menurut Popular News Journal.

“Bagi Myanmar dan ASEAN memulihkan hubungan seperti biasa, kami akan mengambil kira pendirian Myanmar serta hasrat negara anggota ASEAN. Kami akan terus mengadakan perbincangan dengan negara anggota ASEAN,” kata Min.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas pemimpin ASEAN bermesyuarat di Manila, ibu negara Filipina dan menyatakan bahawa mereka mungkin mempertimbangkan pemulihan secara berperingkat perwakilan politik penuh Myanmar dalam kumpulan itu sekiranya Naypyidaw menunjukkan kemajuan dalam usaha menyelesaikan krisis berpanjangan negara berkenaan.

“Mereka mengenakan tekanan sedemikian hanya terhadap negara kami,” kata Min. “Sebelum ini, tidak pernah ada tekanan atau layanan yang menjatuhkan maruah dikenakan terhadap mana-mana negara anggota ASEAN. Namun, mereka melakukan perkara itu terhadap Myanmar.”

Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-49 tidak melibatkan penyertaan Myanmar.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr pada Selasa berkata pemimpin ASEAN bersetuju meneruskan pendekatan berasaskan kemajuan bagi memulihkan perwakilan Myanmar dalam blok serantau itu, sambil menegaskan bahawa sebarang langkah ke arah itu bergantung pada usaha konkrit kepimpinan negara berkenaan serta pihak berkepentingan lain untuk memajukan proses perdamaian.

Ketika berucap pada sidang media selepas sidang kemuncak itu, Marcos berkata blok berkenaan mengutamakan bantuan kemanusiaan bagi menangani peningkatan jumlah kematian orang awam akibat konflik di Myanmar.

Myanmar terus dilanda perang saudara berpanjangan yang semakin memuncak selepas pihak tentera pimpinan Min menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada Februari 2021.

Beberapa kumpulan penentang bersenjata etnik kini bertempur dengan kerajaan pimpinan tentera di pelbagai kawasan negara itu.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.