Niaga hadapan emas ditutup rendah sejajar dengan COMEX

Gambar Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 18 November – Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, sejajar dengan kelemahan di Bursa Komoditi AS (COMEX) selepas pasaran menyesuaikan diri dengan jangkaan prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih agresif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Data ekonomi AS kukuh meningkatkan jangkaan pengetatan Rizab Persekutuan, menambah tekanan ke atas harga emas.
  • Pengukuhan dolar AS menaikkan kos peluang memegang emas, menjadikan aset tanpa pulangan kurang menarik.
  • Penjualan besar saham berkaitan kecerdasan buatan memaksa pelabur menjual emas untuk mendapatkan tunai.
  • Walaupun harga jatuh, jumlah dagangan dan kepentingan terbuka melonjak, menunjukkan aktiviti pasaran meningkat.

“Pengukuhan dalam data ekonomi AS baru-baru ini telah meningkatkan jangkaan pengetatan Rizab Persekutuan (Fed) selanjutnya, dengan harga pasaran menokok sebanyak 75 mata asas kenaikan tambahan. Ini menyebabkan dolar US menguat dan melonjakkan kos lepas untuk memegang jongkong yang tidak mendatangkan hasil,” kata rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes kepada Bernama.

Faktor lain yang mempengaruhi emas ialah penjualan besar-besaran saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas, yang menyebabkan pelabur menjual emas dan aset lain yang mudah diniagakan bagi mendapatkan tunai dan menampung kerugian.

“Dalam keadaan seperti ini, daya tarikan tradisional emas jatuh di belakang keperluan mudah tunai. Antara dolar AS dan kadar fed yang lebih kukuh serta jualan paksa yang merebak daripada pasaran ekuiti, ruang untuk emas bergerak adalah amat terhad,” katanya.

Pada penutupan, kontrak bulan semerta November 2026 susut kepada US$3,782.9 setiap auns troy daripada US$3,868.6, Disember 2026 turun kepada US$3,798.1 daripada US$3,883.5 dan Januari 2027 merosot kepada US$3,799.20 daripada US$3,884.6.

Kontrak Februari 2027, April 2027 dan Jun 2027 jatuh kepada US$3,827.1 setiap auns troy daripada US$3,912.5.

Jumlah dagangan melonjak kepada 229 lot berbanding 64 lot yang dicatatkan pada penutup Selasa, manakala kepentingan terbuka bertambah baik kepada 299 kontrak daripada 124 kontrak.

Berdasarkan penetapan tengah hari 17 Nov di London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$3,858.10 setiap auns troy.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.