
KUALA LUMPUR, 18 November – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sedia membantu merangka laluan kerjaya baharu buat atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, selepas kemalangan jalan raya menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan penglibatan dalam sukan itu secara kompetitif.
- PABM komited memastikan kebajikan Hafizuddin; bantuan kewangan awal disalurkan dan pendedahan kejurulatihan dirancang, terutamanya di Perlis.
- Peluang beralih ke acara para powerlifting dan lontar peluru tipis disebabkan kehilangan anggota tangan dan kecederaan tangan dominan.
- Hafizuddin kini semakin stabil selepas pembedahan kecemasan, sedar sepenuhnya, tunjuk semangat positif dan ditempatkan di wad biasa HKL.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, persatuan itu komited memastikan kebajikan pemenang pingat emas kategori 88 kilogram Sukan Komanwel Glasgow 2026 berusia 22 tahun itu terus terbela, biarpun kariernya sebagai atlet kompetitif telah berakhir.
Menurut beliau, selain bantuan kewangan awal yang telah disalurkan kepada keluarga mangsa, PABM mahu memberi pendedahan awal kepada Muhammad Hafizuddin untuk menceburi bidang kejurulatihan, khususnya di negeri kelahirannya, Perlis.
“Daripada segi penglibatannya sebagai atlet angkat berat, ia memang sudah berakhir. Namun, kita mahu beri pendedahan awal kepadanya untuk menjadi jurulatih di peringkat negeri, terutamanya di Perlis.
“Pengalaman luasnya beraksi sejak usia 14 tahun hingga ke pentas Komanwel adalah aset berharga yang boleh dimanfaatkan untuk membimbing pelapis baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat atlet itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Mengulas potensi Muhammad Hafizuddin beralih ke sukan para, Datuk Ayub menjelaskan peluang tersebut agak terhad kerana acara para powerlifting tidak membenarkan penyertaan atlet yang kehilangan anggota tangan.
Manakala peluang dalam acara lontar peluru turut tipis berikutan kecederaan melibatkan tangan dominannya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan insiden tersebut sebagai satu kehilangan besar buat skuad kebangsaan kerana Muhammad Hafizuddin merupakan prospek utama negara bagi memburu slot kelayakan Sukan Olimpik dan Sukan SEA akan datang.
Mengulas keadaan atlet itu, Datuk Ayub berkata Muhammad Hafizuddin kini dalam keadaan semakin stabil selepas menjalani pembedahan dan sudah sedar sepenuhnya.
Beliau berkata atlet itu turut menunjukkan semangat positif ketika menerima kunjungan, termasuk mampu berbual, tersenyum dan bergurau walaupun berdepan ujian besar yang mengubah kehidupannya.
Muhammad Hafizuddin kini ditempatkan di wad biasa selepas selesai menjalani pembedahan kecemasan malam tadi susulan motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), malam Isnin lalu.