159,728 kes penipuan dalam talian, kerugian lebih RM250 juta

Gambar Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 17 November – Sebanyak 159,728 panggilan berkaitan penipuan dalam talian diterima Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, membabitkan kerugian berjumlah RM250.35 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM6.75 juta dikenal pasti untuk pemulihan, RM9.14 juta disita, dan RM6.67 juta dipulangkan kepada mangsa (73 peratus sitaan).
  • Konsep 'golden hours' penting; mangsa perlu hubungi NSRC di 997 dalam 24 jam pertama untuk tingkatkan peluang pemulihan wang.
  • Peningkatan kerugian berpunca daripada modus operandi lebih canggih, eksploitasi teknologi digital, identiti palsu dan penyalahgunaan media sosial.
  • PDRM rekod 181,750 kes penipuan dalam talian dari 2023 hingga Ogos 2026, kerugian keseluruhan RM6.95 bilion.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak RM6.75 juta dikenal pasti untuk tindakan pemulihan, RM9.14 juta disita, manakala RM6.67 juta berjaya dipulangkan kepada mangsa, bersamaan 73 peratus daripada jumlah sitaan.

“Dalam konteks ini, konsep ‘golden hours’ amat penting iaitu tempoh kritikal sebaik sahaja penipuan berlaku. Mangsa perlu segera menghubungi NSRC melalui talian 997, khususnya dalam tempoh 24 jam pertama bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk mengesan dan menyekat aliran wang sebelum dipindahkan atau dikeluarkan, sekali gus meningkatkan peluang wang tersebut diperoleh semula,” menurut KDN dalam jawapan bertulis pada laman rasmi Parlimen.

KDN menyatakan demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman rasmi Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, mengenai punca kerugian penipuan dalam talian mencecah RM3.8 bilion, kadar pemulangan dana mangsa yang masih rendah serta tindakan menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara.

Menurut kementerian, peningkatan kerugian akibat penipuan dalam talian berpunca daripada modus operandi penjenayah yang sentiasa berubah dan semakin canggih, termasuk eksploitasi teknologi digital, penggunaan identiti palsu serta penyalahgunaan media sosial, aplikasi komunikasi dan pelbagai platform digital.

Dalam perkembangan berkaitan, KDN memaklumkan sebanyak 181,750 kes penipuan dalam talian direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2023 hingga Ogos 2026, dengan jumlah kerugian mencecah RM6.95 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak 34,495 kes direkodkan pada 2023, meningkat kepada 35,368 kes pada 2024 dan 66,204 kes pada 2025. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 pula, sebanyak 45,683 kes direkodkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.