
PUTRAJAYA, 17 November – Perkembangan semasa membabitkan gergasi teknologi dunia, Nvidia, tidak menjejaskan kedudukan Malaysia dalam usaha memperkukuh sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
- Kerajaan kekal komited memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi untuk menjana nilai tambah serta pulangan ekonomi lebih besar.
- Pembangunan semikonduktor dan AI dilihat dalam perspektif jangka panjang bagi memperkukuh industri pembuatan dan ekonomi digital negara.
- Isu berkaitan Nvidia sedang diuruskan di peringkat MITI; aktiviti pembuatan dan eksport semikonduktor negara tidak terkait secara langsung.
- MITI menegaskan tiada kelulusan kepada Megaspeed; Speedmatrix hanya penyewa pusat data yang membawa masuk pelayan dan cip untuk kegunaan sendiri.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan kekal komited memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi bagi memastikan pelaburan yang dibawa masuk mampu menjana nilai tambah serta pulangan ekonomi lebih besar kepada negara.
Menurutnya, pembangunan sektor semikonduktor dan AI perlu dilihat dalam perspektif jangka panjang, khususnya bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri pembuatan serta ekonomi digital.
Beliau berkata, isu membabitkan Nvidia ketika ini sedang diuruskan di peringkat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala aktiviti pembuatan serta eksport semikonduktor negara tidak berkait secara langsung dengan isu berkenaan.
“Sebab itu setakat ini kita melihat secara lebih keseluruhan, sementara isu itu diuruskan di peringkat MITI.
“Dari segi pertumbuhan negara, dari segi elemen sama ada pembuatan, eksport dari segi semikonduktor yang kita bina di negara kita, yang mana sebenarnya tidak sebenarnya terkait secara langsungdengan isu itu.
“Sudah pasti pertumbuhan dan perancangan ekonomi negara ini kekal terhadap pelaburan terhadap bernilai tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang petunjuk bahawa cip AI yang dikaitkan dengan isu Nvidia-Megaspeed dieksport dari Malaysia.
Sebelum ini, MITI menjelaskan pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan kepada Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura atau syarikat sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
Menurut kementerian itu, Speedmatrix merupakan penyewa pusat data di Malaysia yang membawa masuk pelayan dan cip AI miliknya sendiri ke negara ini untuk kegunaan operasi pusat data berkenaan.