Sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan hadapi ancaman siber – BNM

Bank Negara Malaysia/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November – Sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi ancaman keselamatan siber, dengan keselamatan dana, transaksi serta maklumat pelanggan terus dilindungi menerusi kawalan dan langkah keselamatan yang komprehensif.

RINGKASAN BERITA AI
  • BNM mengemas kini keperluan kawal selia melalui RMiT bagi memperkukuh tadbir urus teknologi dan daya tahan siber sektor kewangan.
  • Institusi kewangan diwajibkan menjalankan latihan simulasi keselamatan siber berkala untuk menguji ketahanan, kenal pasti kelemahan dan pastikan operasi kritikal diteruskan.
  • BNM menyediakan platform perkongsian maklumat ancaman dan meningkatkan pemantauan serta arahan mitigasi tambahan kepada institusi bagi memperkukuh pertahanan.
  • Orang ramai dinasihatkan merujuk maklumat rasmi, elak berkongsi kata laluan atau PIN, lapor transaksi mencurigakan kepada bank atau NSRC.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, keselamatan siber merupakan fokus penting bank pusat dan menjadi komponen utama dalam mengekalkan kestabilan kewangan dan keyakinan terhadap sistem kewangan negara.

Menurutnya, dalam persekitaran kewangan yang semakin digital dan saling berhubung, daya tahan siber penting bagi memastikan institusi kewangan terus menyediakan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai.

Sehubungan itu, BNM sentiasa mengemas kini keperluan kawal selia bagi memastikan institusi kewangan mempunyai keupayaan dan kawalan mencukupi untuk menangani ancaman siber yang semakin berkembang.

”Menerusi dasar Risk Management in Technology (RMiT), BNM telah menetapkan rangka kerja komprehensif bagi memperkukuh daya tahan siber sektor kewangan.

”Usaha ini merangkumi tadbir urus teknologi, perlindungan data, pengurusan risiko pihak ketiga, pemantauan ancaman, ujian keselamatan serta pelan tindak balas dan pemulihan insiden,” jelas BNM dalam kenyataan bertulisnya kepada RTM.

Institusi kewangan turut diwajibkan menjalankan latihan simulasi keselamatan siber secara berkala bagi menguji ketahanan sistem, mengenal pasti kelemahan serta memastikan operasi kritikal dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan atau insiden siber.

Bank pusat turut menyediakan platform perkongsian maklumat ancaman bagi membolehkan institusi kewangan mengambil tindakan awal dan memperkukuh pertahanan siber masing-masing.

BNM berkata, institusi kewangan juga perlu melaksanakan kawalan, pemantauan dan tadbir urus yang berkesan bagi melindungi maklumat pelanggan.

Sekiranya berlaku insiden yang melibatkan pendedahan maklumat pelanggan sehingga berpotensi menyebabkan kemudaratan ketara, institusi kewangan perlu mengambil langkah perlindungan dan mitigasi berkesan bagi mengurangkan risiko serta melindungi kepentingan pelanggan terjejas.

”BNM telah mengarahkan institusi kewangan meningkatkan tahap kewaspadaan, memperkukuh kawalan keselamatan siber dan mempertingkat pemantauan terhadap sistem serta transaksi kritikal.

”Institusi kewangan juga perlu melaksanakan langkah mitigasi tambahan dalam tempoh ini bagi memperkukuh daya tahan operasi dan keselamatan sistem susulan perkembangan landskap ancaman siber global,” jelasnya.

BNM turut bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pengawal selia lain, termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), bagi memantau perkembangan semasa.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk maklumat yang disahkan pihak berkuasa dan institusi kewangan berkaitan serta berhati-hati terhadap maklumat yang belum disahkan, khususnya yang tersebar menerusi media sosial dan platform dalam talian.

Orang ramai juga disaran berwaspada terhadap mesej, panggilan telefon, e-mel atau pautan mencurigakan serta tidak berkongsi kata laluan, nombor pengenalan peribadi (PIN) atau kod pengesahan dengan mana-mana pihak.

Mereka turut dinasihatkan supaya segera menghubungi institusi kewangan masing-masing sekiranya mengesan transaksi meragukan.

Bagi kes penipuan kewangan, orang ramai boleh menghubungi bank terlibat atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 untuk tindakan segera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.