
LA PAZ, 11 November – Mogok selama 48 jam oleh kesatuan guru bandar di Bolivia memasuki hari kedua pada Selasa, dengan demonstrasi di ibu negara La Paz bertukar tegang sehingga mencetuskan pertembungan dengan polis.
- Guru mogok bantah pemindahan pengurusan institut teknikal kepada kerajaan wilayah, menuntut pendidikan awam terus diurus oleh kerajaan pusat.
- Guru risau kerajaan wilayah tiada kewangan mencukupi dan langkah itu boleh membuka ruang kepada penswastaan pendidikan awam.
- Kekurangan infrastruktur memaksa tenaga pengajar tanggung kos utiliti; mogok ganggu ribuan pelajar, manakala menteri menegaskan pendidikan kekal percuma.
Polis menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan, mengakibatkan beberapa guru cedera manakala kira-kira 12 individu ditahan, menurut laporan media tempatan.
Rakaman kejadian menunjukkan guru berarak di jalan raya sebelum membakar patung kain, yang mencetuskan ketegangan dengan anggota polis.
Protes itu diadakan bagi membantah cadangan pemindahan pengurusan institut teknikal daripada kerajaan pusat kepada kerajaan wilayah.
Golongan pendidik mendakwa kerajaan wilayah tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk memastikan operasi institusi berkenaan berjalan lancar.
Mereka turut bimbang langkah itu membuka ruang kepada penswastaan pendidikan awam.
Seorang guru, Felix Isaac Conde Ponce menegaskan pendidikan awam merupakan tanggungjawab kerajaan dan tidak seharusnya diswastakan.
Sementara itu, seorang lagi guru, Mishel Barrios membangkitkan kekurangan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan asas di pusat pendidikan, sehingga ada tenaga pengajar terpaksa menanggung sendiri kos utiliti bagi memastikan aktiviti akademik diteruskan.
Mogok berkenaan menyebabkan ribuan pelajar di sekolah awam dan institusi pendidikan yang beroperasi melalui perjanjian kerajaan tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Bolivia, Erick Sanjines mengkritik tindakan mogok itu sambil menegaskan pendidikan di negara berkenaan akan kekal sebagai perkhidmatan awam dan diberikan secara percuma.-Viory