Pelabuhan eksport minyak Rusia diserang dron

Foto Hiasan

MOSCOW, 11 November – Serangan dron mencetuskan kebakaran di Pelabuhan Ust-Luga, antara hab eksport minyak utama Rusia di pesisir Laut Baltik, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem pertahanan udara Rusia memintas 146 dron semasa operasi ketenteraan di wilayah Leningrad sepanjang malam.
  • Kira-kira 18 penerbangan di Lapangan Terbang Pulkovo dibatalkan atau mengalami kelewatan, menurut agensi TASS.
  • Ukraine meningkatkan serangan dron terhadap sektor tenaga Rusia sejak 18 bulan lalu untuk kurangkan pendapatan Kremlin dan kemampuan membiayai perang.

Gabenor wilayah Leningrad, Aleksandr Drozdenko menerusi hantaran di Telegram mengesahkan serangan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) itu menyasarkan kawasan pelabuhan berkenaan.

Menurutnya, pasukan kecemasan sedang berusaha memadamkan kebakaran yang tercetus susulan serangan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sistem pertahanan udara Rusia berjaya memintas 146 dron ketika operasi ketenteraan berterusan di wilayah Leningrad sepanjang malam.

Serangan itu turut menjejaskan operasi penerbangan apabila kira-kira 18 penerbangan di Lapangan Terbang Pulkovo, berhampiran Saint Petersburg, dibatalkan atau mengalami kelewatan, menurut agensi berita TASS.

Ukraine meningkatkan serangan dron terhadap sektor tenaga Rusia sejak 18 bulan lalu, dengan matlamat mengurangkan pendapatan Kremlin serta menjejaskan keupayaan Moscow membiayai perang.

Sementara itu, Ukraine mendakwa Rusia terus menyasarkan rangkaian tenaga negara itu menerusi serangan udara, menyebabkan penduduk di beberapa kawasan terputus bekalan elektrik ketika suhu semakin menurun menjelang musim sejuk.

Serangan berkenaan berlaku ketika Rusia dan Ukraine mengadakan rundingan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, minggu ini dengan pengantaraan Amerika Syarikat bagi mencari jalan menamatkan konflik yang berlarutan sejak 2022. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.