
BAMAKO, 11 November – Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin diberi perhatian dalam sektor pertahanan apabila Mali mengetengahkan penggunaan teknologi itu menerusi pameran pertahanan BAMEX edisi kedua di Bamako.
- Pameran memaparkan dron, kenderaan berperisai, senjata dan peluru sebagai usaha rantau Sahel memperkukuh keselamatan.
- Pegawai tentera berkata AI dalam kawalan sistem robotik meningkatkan keupayaan operasi ketenteraan.
- Ketua pusat AI Mali: dron berAI membantu mengesan ancaman jauh dan menjangkakan serangan untuk tindakan awal.
- Pameran menghimpunkan delegasi lebih 40 negara Afrika dan berkait dengan Perikatan Negara Sahel antara Mali, Burkina Faso dan Niger.
Pameran berkenaan memaparkan pelbagai aset ketenteraan termasuk dron, kenderaan berperisai, senjata api dan peluru, ketika negara-negara rantau Sahel berusaha memperkukuh keupayaan menangani ancaman keganasan.
Pegawai Angkatan Tentera Mali, Mohamed Ly berkata, pameran itu bukan sekadar mempamerkan kelengkapan ketenteraan, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi dalam operasi pertahanan.
Menurutnya, penggunaan AI khususnya dalam mengawal sistem robotik mampu meningkatkan keupayaan operasi ketenteraan.
Sementara itu, Ketua Pusat AI dan Robotik Mali, Jacqueline Konate Sogoba berkata, teknologi dron yang dilengkapi AI berpotensi membantu mengesan ancaman dari jarak jauh serta menjangkakan kemungkinan serangan.
Beliau berkata, keupayaan itu membolehkan pihak keselamatan mengambil tindakan lebih awal tanpa perlu berada berhampiran kawasan ancaman.
Pameran yang berlangsung sehingga 13 November itu turut menghimpunkan delegasi beberapa negara Afrika, dengan penyertaan wakil dari lebih 40 negara dijangka.
Mali, Burkina Faso dan Niger sebelum ini menubuhkan Perikatan Negara Sahel (AES) pada 2023 bagi memperkukuh kerjasama keselamatan dalam menangani ancaman keganasan dan keganasan bersenjata yang berterusan di rantau berkenaan.-Viory