14 lokasi panas banjir kilat, DBKL laksana langkah mitigasi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November – Sebanyak 14 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir kilat di ibu negara dan menjadi keutamaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam melaksanakan langkah mitigasi serta penambahbaikan sistem saliran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama pengendali lebuh raya diperlukan untuk memastikan sistem perparitan diselenggara dengan baik.
  • Pemeriksaan dan penyelenggaraan berterusan penting bagi mengelakkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
  • Tindakan segera termasuk pemasangan pam di Sungai Keruh, Segambut untuk alirkan air bertakung.
  • DBKL merancang saliran pintasan di Jalan Klang Lama untuk salurkan air lebih awal ke sistem utama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha menangani risiko banjir kilat turut memerlukan kerjasama pengendali lebuh raya, khususnya dalam memastikan sistem perparitan di kawasan seliaan masing-masing diselenggara dengan baik.

Menurutnya, kejadian air naik secara mendadak di lebuh raya menunjukkan pentingnya pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berterusan bagi mengelakkan gangguan kepada pengguna jalan raya.

“Kalau lebuh raya, ia adalah di bawah jagaan pengendali lebuh raya tersebut.

“Jadi saya minta mereka juga buat pemeriksaan. Bukan sahaja kutip tol, tetapi mereka kena pastikan penyelenggaraan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelaksanaan Projek Lestari Niaga 2026 di Pasar Kudu, Jalan Ipoh, hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, tindakan segera turut dilaksanakan di beberapa kawasan yang berdepan masalah air bertakung.

Antaranya pemasangan pam berhampiran masjid di kawasan Sungai Keruh, Segambut bagi mengalirkan keluar air yang bertakung.

DBKL juga merancang pembinaan saliran pintasan di Jalan Klang Lama untuk menyalurkan aliran air lebih awal ke sistem saliran utama, sekali gus mengurangkan risiko air tertumpu di kawasan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.