
RANTAU PANJANG, 10 November – Pergerakan rakyat Malaysia ke Thailand menunjukkan trend penurunan apabila hanya 1.15 juta pelawat direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
- Penurunan pergerakan dipercayai disebabkan insiden keselamatan di selatan Thailand seperti pengeboman di Narathiwat, Pattani dan Sungai Golok.
- Kebanyakan pelawat keluar masuk di sempadan Kelantan adalah rakyat Malaysia dan Thailand.
- AKPS bersama KDN merampas naskhah yasin dan tahlil serta 63,500 kitab, kes disiasat di bawah Seksyen 7B Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang Siti Khadijah Hamzah berkata, penurunan itu dipercayai antara lain dipengaruhi beberapa insiden keselamatan di selatan Thailand, termasuk kejadian pengeboman di Narathiwat, Pattani dan Sungai Golok.
Insiden itu dipercayai menjadi faktor selain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke negara berkenaan.
“Jumlah pelawat yang direkodkan dari Januari hingga Oktober 2026 ialah 1,154,198 orang berbanding 1.7 juta pergerakan pelawat sepanjang tahun 2025.
“Statistik itu menunjukkan sedikit penurunan pada tahun ini dan saya percaya keadaan ini antara lain disebabkan beberapa insiden yang berlaku di Thailand, termasuk kejadian pengeboman di kawasan selatan negara itu seperti Narathiwat, Pattani dan Golok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini hari ini.
Kebanyakan pelawat yang keluar masuk sempadan negara di Kelantan merupakan rakyat Malaysia dan Thailand.
Dalam perkembangan lain, Siti Khadijah berkata, AKPS dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 1,572 naskhah yasin dan tahlil dalam satu operasi penguatkuasaan 5 November lalu untuk tindakan lanjut.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah lori di ICQS Rantau Panjang, pihaknya mendapati sebanyak 63,500 naskah kitab pelbagai tajuk dimuatkan ke dalam lori terbabit. Kes disiasat bawah Seksyen 7B, Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.