
PERLIS, 10 November – Program Jualan Agro MADANI merekodkan nilai jualan keseluruhan RM79.77 juta menerusi 3,388 siri penganjuran di seluruh negara setakat ini.
- Perlis catat jualan RM1.9 juta menerusi 142 siri, melibatkan 581 usahawan.
- Program jana penjimatan RM570,000 sepanjang 2026, manfaat kepada 565,000 isi rumah.
- FAMA tawar produk agromakanan jimat 10 hingga 30 peratus dan Kombo MADANI RM17 (asal RM24) termasuk barangan harian.
Pencapaian itu membabitkan penyertaan 39,841 usahawan dan memberi manfaat kepada 18.7 juta isi rumah, dengan nilai penjimatan keseluruhan mencecah RM25.36 juta.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, pelaksanaan program berkenaan di Perlis sahaja mencatatkan nilai jualan RM1.9 juta menerusi 142 siri jualan yang melibatkan 581 usahawan.
“Program ini turut menjana penjimatan RM570,000 sepanjang 2026, sekali gus memberi manfaat kepada 565,000 isi rumah.
“Pencapaian itu mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap inisiatif FAMA dalam memastikan bekalan produk agromakanan ditawarkan pada harga lebih berpatutan, selain membantu meningkatkan pendapatan usahawan tani serta memperluas pasaran produk tempatan,” katanya ketika meninjau pelaksanaan Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Kekal Simpang Empat sempena lawatan kerjanya ke Perlis.
Menerusi program itu, FAMA turut menawarkan pelbagai produk agromakanan dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran, termasuk daging tempatan, ayam segar, buah-buahan, sayur-sayuran dan produk runcit lain.
Selain itu, sebanyak 150 unit Kombo MADANI turut ditawarkan pada harga RM17 berbanding harga asal RM24, mengandungi barangan keperluan harian seperti telur, bawang dan minyak masak.